Projek cerun laluan Simpang Pulai-Cameron dalam pemantauan

Mohd Zolkafly (dua dari kiri) meninjau keadaan cerun yang kritikal di laluan dari Kampung Bawong ke Rancangan Penempatan Semula (RPS) Pos Legap di sini pada Isnin.
Mohd Zolkafly (dua dari kiri) meninjau keadaan cerun yang kritikal di laluan dari Kampung Bawong ke Rancangan Penempatan Semula (RPS) Pos Legap di sini pada Isnin.
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Pengguna Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands diingatkan untuk sentiasa mendapatkan perkembangan terkini kedudukan laluan tersebut bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku terutama pada musim hujan ini.

Exco Infrastruktur Awam, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, pembinaan jajaran dan projek baik pulih cerun yang dijalankan di laluan itu selepas berlaku runtuhan besar, tahun lalu masih dalam peringkat pemantauan.

Menurutnya, dalam keadaan cuaca tidak menentu dan taburan hujan luar biasa ketika ini, sebarang risiko boleh berlaku di kawasan berkenaan.

Projek cerun (baik pulih) di situ masih dalam pemerhatian dan kajian Kementerian Kerja Raya.

"Jadi saya harap pengguna berhati-hati kerana keadaan sekarang faktor hujan tidak menentu, kita sangkakan panas tetapi hujan pula.

"Sebaiknya dapatkan dahulu maklumat dan perkembangan semasa mengenai keselamatan laluan di situ daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) atau pusat maklumat kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah bagi Projek Pembaikan Cerun dan Jalan dari Kampung Bawong ke Rancangan Penempatan Semula (RPS) Pos Legap di sini pada Isnin.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Ir Hamdan Ali.

Artikel Berkaitan:

Runtuhan cerun yang berlaku pada September tahun lalu itu dipercayai berpunca daripada hujan berterusan selain aliran air bawah tanah yang mengakibatkan struktur tanah lemah dan tidak kukuh.

Pada Ogos lepas, Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof tidak menolak kemungkinan berlakunya kejadian pergerakan tanah yang boleh mendedahkan kepada risiko tanah runtuh di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands.

Dalam perkembangan sama, Mohd Zolkafly berkata, sebanyak RM23.86 juta diperuntukkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk membaiki 11 lokasi cerun dan jalan yang kritikal di sepanjang jalan dari Kampung Bawong sehingga ke RPS Pos Legap di sini.

Katanya, projek berkenaan telah memulakan kerja awal pada 7 September lalu dan dijangka siap pada 4 Mac 2025 bertujuan memastikan jalan yang terjejas disebabkan kegagalan cerun adalah selamat dan selesa kepada pengguna.

"Jalan ini bukan sahaja digunakan penduduk setempat, tetapi merupakan laluan utama ke pusat pelancongan yang popular iaitu Kuala Mu dan Pos Yum, selain laluan sering digunakan pegawai kerajaan dan aktiviti pembalakan.

"Jika tidak dibaiki dibimbangi mendatangkan bahaya kerana saya dimaklumkan kes-kes runtuhan cerun di kawasan ini juga agak serius terutama pada musim hujan," katanya.