Pakai pelitup muka masih kekal di masjid, surau di Selangor

Mohd Shahzihan (kiri) mengiringi Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah (dua dari kiri) pada Majlis Perasmian dan Pembukaan Masjid Raja Lumu Pekan Lama di sini pada Jumaat.
Mohd Shahzihan (kiri) mengiringi Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah (dua dari kiri) pada Majlis Perasmian dan Pembukaan Masjid Raja Lumu Pekan Lama di sini pada Jumaat.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sudah menyembah maklum beberapa syor mengenai pemakaian pelitup muka di masjid dan surau di negeri ini kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pengarah Jabatan Agama Islam (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, beberapa cadangan itu meliputi prosedur operasi standard (SOP) atau langkah alternatif dengan mengambil kira keselamatan dan keselesaan semua pihak.

"JAIS mengambil maklum pengumuman terbaharu oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai pemakaian pelitup muka," katanya pada Majlis Perasmian dan Pembukaan Masjid Raja Lumu Pekan Lama di sini pada Jumaat.

Bagaimanapun, Mohd Shahzihan memberitahu, pemakaian pelitup muka masih kekal di masjid dan surau di negeri ini sehingga perkenan Sultan Sharafuddin untuk ketetapan baharu.

Menurut beliau, pihaknya akan memaklumkan produser operasi standard (SOP) atau ketetapan terkini itu selepas mendapat perkenan Istana Selangor.

Pada Rabu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan pemakaian pelitup muka di kawasan tertutup kini atas pilihan berkuat kuasa serta merta.

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira situasi semasa Covid-19 dalam negara serta penilaian semasa yang dilakukan kementeriannya.

Bagaimanapun, pemilik premis boleh menentukan sama ada pengunjung wajib memakai pelitup muka atau membuat pilihan sendiri.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Shahzihan berkata, JAIS turut mempersembahkan kepada Sultan Sharafuddin berkaitan ajaran sesat Hadi Minallah.

"Tiada (penahanan ahli kumpulan) dan perkara itu sudah disembah maklum kepada baginda," ujarnya.

Sebelum ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary mendedahkan bahawa penyebaran ajaran sesat itu turut dikesan di Selangor, Johor dan Kedah.