[VIDEO] Pemakaian pelitup muka kini tidak diwajibkan

Pemakaian pelitup muka di dalam bangunan kini adalah atas pilihan sendiri. - Gambar kecil: Khairy
Pemakaian pelitup muka di dalam bangunan kini adalah atas pilihan sendiri. - Gambar kecil: Khairy
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pemakaian pelitup muka di kawasan tertutup kini atas pilihan berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira situasi semasa Covid-19 dalam negara serta penilaian semasa yang dilakukan kementeriannya.

Bagaimanapun beliau menjelaskan, pemilik premis boleh menentukan sama ada pengunjung wajib memakai pelitup muka atau membuat pilihan sendiri berhubung pemakaiannya.

“Sekarang ini kita serah kepada pemilik bangunan untuk membuat ketetapan kepada pengunjung sama ada untuk wajibkan atau sebaliknya. Namun, orang ramai amat digalakkan memakai pelitup muka kerana ia terbukti mampu mengurangkan penularan jangkitan.

“Kelonggaran yang diberikan ini bukanlah bermakna orang ramai boleh memandang ringan risko jangkitan Covid-19. Orang ramai dalam masa sama perlu memikul tanggungjawab individu yang lebih besar melindungi bukan sahaja diri sendiri tetapi seluruh komuniti,” katanya dalam satu sidang akhbar khas di sebuah hotel di sini pada Rabu.

Ahli Parlimen Rembau itu dalam masa sama turut memaklumkan masih ada beberapa kategori yang diwajibkan memakai pelitup muka.

“Pemakaian pelitup muka diwajibkan kepada individu yang bergejala atau positif Covid-19 dan mereka yang menggunakan pengangkutan awam, bas, keretapi, teksi, perkhidamatan e-hailing, kapal terbang, bas pekerja serta bas sekolah.

Turut diwajibkan ialah individu yang berada di fasiliti kesihatan dan penjagaan seperti hospital, klinik, rumah penjagaan atau pusat hemodialisis.

Artikel Berkaitan:

Sejak negara memasuki fasa peralihan ke endemik sejak 1 April lalu, pelbagai prosedur operasi standard (SOP) dilonggarkan antaranya tiada penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka di tempat terbuka atau di luar bangunan tidak lagi diwajibkan.

Pada 1 Ogos 2020 lalu, kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka susulan peningkatan jangkitan kes Covid-19 di Malaysia.