Tak perlu ragu arah kiblat masjid, surau di Selangor - MAIS

Arah kiblat masjid dan surau sedia ada di negeri Selangor telah disemak dan diperakukan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor. - Foto hiasan/Bernama
Arah kiblat masjid dan surau sedia ada di negeri Selangor telah disemak dan diperakukan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor. - Foto hiasan/Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menegaskan bahawa masyarakat Islam tidak perlu meragui tentang penentuan arah kiblat masjid dan surau di negeri Selangor.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, penentuan arah kiblat dilaksanakan Jabatan Mufti Negeri Selangor adalah selaras dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia.

Menurutnya, ini berhubung dengan had berpaling yang dibenarkan daripada arah kiblat (Had al-Tahawwul ‘Ani al-Qiblat) yang menjelaskan bahawa arah mengadap kiblat merupakan perkara ijtihadi dan zanni.

Ujarnya, penentuan had juga tidak melebihi tiga darjah bagi pesongan mihrab yang dibenarkan boleh dijadikan sebagai garis panduan dalam pembinaan masjid dan surau baharu.

“MAIS turut mewajibkan agar penentuan arah kiblat oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor ini dilaksanakan terlebih dahulu sebelum sesuatu masjid, surau atau musolla yang baharu mula beroperasi.

“Dalam hal penentuan arah kiblat di Selangor, Jabatan Mufti Negeri Selangor sentiasa memberikan pencerahan dan hebahan dari semasa ke semasa berhubung kaedah penetapan arah kiblat kepada masyarakat sama ada melalui laman web dan media sosial rasmi Jabatan Mufti Negeri Selangor atau program pencerahan yang dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Abdul Aziz berkata demikian mengulas laporan sebuah akhbar tempatan berhubung 40 peratus arah kiblat Lembah Klang tersasar yang dilaporkan berdasarkan pernyataan daripada Persatuan Ahli Falak Negeri Selangor (PAFNS).

Menurutnya, MAIS telah meminta penjelasan berhubung perkara itu daripada wakil PAFNS Selangor diwakili Prof Datuk Dr Mohd Zambri Zainuddin dan Abdul Latip Ibrahim dalam pertemuan dipengerusikan beliau sendiri selain dihadiri Mufti Selangor, Prof Madya Dr Anhar Opir serta anggota MAIS, Datuk Salehuddin Saidin.

Beliau berkata, MAIS menegaskan tajuk laporan akhbar berkenaan adalah kurang tepat dan tidak menggambarkan perkara sebenar serta telah menimbulkan salah faham dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam khususnya di Selangor.

Menurut Abdul Aziz, laporan tersebut hanya merujuk kepada penentuan arah kiblat rumah kediaman sahaja berdasarkan permohonan khidmat penentuan arah kiblat bagi rumah kediaman yang diterima oleh PAFNS.

“Laporan tersebut sama sekali tidak berkaitan dengan penentuan arah kiblat masjid dan surau di Selangor. Arah kiblat masjid dan surau sedia ada di negeri Selangor telah disemak dan diperakukan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor,” katanya.

Beliau menjelaskan, berdasarkan pencerahan dan hebahan yang dikeluarkan Jabatan Mufti Selangor bahawa penentuan arah kiblat boleh dilaksanakan dengan berpandukan kepada empat kaedah.

Antaranya adalah semakan arah kiblat ketika berlakunya fenomena matahari tegak di atas Kaabah yang dikenali sebagai Istiwa’ A’dzom yang berlaku pada setiap 28 Mei dan 16 Julai pada tahun biasa dan pada 27 Mei dan 15 Julai pada tahun lompat.

“Jadual kedudukan matahari dalam keadaan yang searah dengan Kaabah, menggunakan aplikasi eFalak Selangor atau apa-apa aplikasi lain yang boleh membantu untuk mengenal pasti arah kiblat serta mendapatkan perkhidmatan penentuan arah kiblat daripada Jabatan Mufti Negeri Selangor atau pihak lain yang mempunyai kepakaran dan kemahiran berkaitannya,” katanya.

Abdul Aziz menambah, isu berhubung penentuan arah kiblat ini juga telah mendapat perhatian serius daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan baginda tidak mahu mana-mana pihak termasuk pihak media membuat laporan yang kurang tepat yang boleh menyebabkan kekeliruan dalam masyarakat dan mencalarkan imej agama Islam.