'Ulat' kereta sewa dicekup di KLIA2, kenderaan disita

Seorang lelaki menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen dilihat cuba mengambil penumpang ke ibu negara dengan tambang RM120.
Seorang lelaki menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen dilihat cuba mengambil penumpang ke ibu negara dengan tambang RM120.
A
A
A

SEPANG - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menahan seorang lelaki yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), di sini pada Isnin.

Pengarah JPJ Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya berkata, lelaki tersebut ditahan ketika cuba mengambil penumpang dua wanita warga tempatan yang menuju ke ibu negara.

"Siasatan awal mendapati 'ulat' terbabit mengenakan tambang kepada dua warganegara dengan harga RM120 dari KLIA2 ke Campbell Hotel, Dang Wangi.

"Sebuah kenderaan jenis Perodua Bezza berserta pemandu telah ditahan dan disita untuk siasatan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Khairul berkata, JPJ akan terus menjalankan penguatkuasaan secara berterusan dan tindakan tegas akan diambil terhadap pemandu atau pemilik kenderaan yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen.

"Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 205(1), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010), yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun.

"Untuk sebarang aduan trafik, orang awam boleh menyalurkan kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau platform aplikasi e-aduan@JPJ beserta butiran pengadu dan butiran aduan," ujar beliau.

Artikel Berkaitan: