Kemuka segera tindakan komprehensif, adakan sidang DUN khas

Dr Ismail menunjukkan kedudukan Gunung Inas dari Kampung Iboi
ketika meninjau keadaan banjir kilat di kampung tersebut pada Khamis.
Dr Ismail menunjukkan kedudukan Gunung Inas dari Kampung Iboi ketika meninjau keadaan banjir kilat di kampung tersebut pada Khamis.
A
A
A

BALING - Kerajaan negeri digesa mengemukakan pelan tindakan segera yang komprehensif bagi menangani isu banjir kilat dan lumpur di Baling.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, ini kerana banjir kali ketiga yang melanda Kampung Iboi, Kupang masih memberi kerosakan besar terhadap kawasan terjejas.

Sehubungan itu, Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah itu menuntut satu sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) khas diadakan segera bagi membincangkan isu terbabit.

"Sekiranya cadangan ini ditolak, sekurang-kurangnya masukkan agenda khusus berkaitan banjir Baling dalam Sidang DUN akan datang.

"Dengan ini, semua pihak termasuk wakil rakyat pembangkang dapat memberikan pandangan dan cadangan untuk menangani isu besar ini," katanya selepas meninjau banjir kilat di Kampung Iboi pada Khamis.

Pada Sidang DUN lalu yang diadakan pada 18 Julai, Dr Ismail telah mengemukakan satu usul tergempar untuk membincangkan isu banjir kepala air di Baling, namun usul terbabit ditolak.

"Ketika itu, jawapan yang diberikan kerajaan negeri kerana mereka tidak bersedia dan masih menunggu laporan dari jabatan-jabatan berkaitan.

"Pada masa sama mereka dakwa telah mengambil tindakan yang sewajarnya dalam menangani isu tersebut," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Dr Ismail berkata, kerajaan negeri seharusnya mengambil kira pandangan dan tindakan daripada semua pihak dalam memastikan jaminan keselamatan penduduk di kampung terlibat.

"Banjir kepala air terbaharu yang berlaku pada Selasa turut menyebabkan Jambatan Bailey yang dibina hampir runtuh selain berlaku perpindahan 36 keluarga dari kampung terlibat ke pusat pemindahan sementara (PPS)," ujarnya.

Menurutnya, banjir kali ketiga dalam tempoh dua bulan menjadikan penduduk sekitar berada dalam keadaan trauma dan ketakutan setiap kali langit mendung.

"Mereka alami kerugian akibat kerosakan harta benda malah nyawa terancam. Sudahlah belum pulih dari segi fizikal dan mental selepas berdepan banjir pertama pada 4 Julai, kini mereka berdepan situasi sama buat kali ketiga," ujarnya.

Pada Selasa, Kampung Iboi sekali lagi dilanda banjir kepala air buat kali ketiga dalam tempoh dua bulan.

Bencana ini turut meninggalkan trauma kepada penduduk yang baru sahaja bangkit untuk memulakan kehidupan selepas kejadian kedua berlaku pada 28 Julai.

Pada 4 Julai, insiden kepala air dan banjir lumpur menjejaskan 41 kawasan serta mengorbankan tiga nyawa termasuk seorang wanita hamil berusia 23 tahun selain memusnahkan puluhan rumah penduduk.

Dalam pada itu, Dr Ismail menempelak sikap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menolak cadangan beberapa pihak sebelum ini agar segera menanam pokok hutan di kawasan terdedah selepas digondolkan untuk tanaman durian musang king di Gunung Inas.

"Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) sasar tanam 100 juta pokok hutan dalam tempoh lima tahun bermula 2021 hingga 2025, bermakna setahun sebanyak 20 juta pokok hutan.

"Apakah tempat yang hutannya digondol seperti Gunung Inas tidak mendapat perhatian kerajaan negeri, sepatutnya ia menjadi lokasi untuk tanam pokok hutan tersebut.

"Sebaliknya Muhammad Sanusi sebelum ini tegaskan hutan tak perlu ditanam sebab pokoknya tumbuh sendiri. Sikap sebegini amat tidak bertanggungjawab," katanya lagi.

Sehubungan itu, Muhammad Sanusi diminta memperincikan pelan penyelesaian bagi memastikan kawasan terjejas kepala air di Kupang selamat diduduki.

"Keselamatan penduduk perlu diberikan keutamaan. Apa tindakan yang diambil oleh kerajaan negeri untuk pastikan perkara ini tidak berulang buat kali keempat.

"Ini kerana bermula September hingga Disember negara diramal menerima hujan lebih banyak menyebabkan penduduk bimbang. Takkan pula masih nak tunggu hingga berlaku lagi kerosakan lebih teruk dan kematian, baru nak bertindak secara serius," ujarnya.