Banjir Iboi: Tindakan pantas selamatkan empat mangsa

Mohd Nazrol melihat kesan banjir di hadapan rumahnya di Kampung Padang Empang Kupang Baling.
Mohd Nazrol melihat kesan banjir di hadapan rumahnya di Kampung Padang Empang Kupang Baling.
A
A
A

BALING - Tindakan pantas seorang lelaki berjaya menyelamatkan adik, abang dan seorang jirannya yang terperangkap dalam kejadian banjir di Kampung Padang Empang pada Selasa.

Mohd Nazrol Ramli, 30, berkata, ketika kejadian, dia dan adik-beradiknya sedang leka memindahkan perabot ke tingkat atas rumah kerana bimbang ditenggelami air.

Menurutnya, secara tiba-tiba, aliran sungai membentuk laluan baharu menjadikan rumah mereka dikelilingi air kira-kira jam 7 malam.

"Bila sedar air dah mula penuh, hanya tinggal rumah saya dan enam lagi yang terkepung, kami dengar jeritan penduduk meminta keluar kerana bimbang kediaman dirempuh sisa kayu balak," katanya.

Siti Mariam (kanan) dan Che Mah ketika ditemui di PPS Dewan Kampung Padang Empang Kupang Baling pada Rabu.
Siti Mariam (kanan) dan Che Mah ketika ditemui di PPS Dewan Kampung Padang Empang Kupang Baling pada Rabu.

Mohd Nazrol berkata, dia memanjat bumbung untuk menghubungi ahli keluarga dan memaklumkan bahawa mereka terperangkap.

"Selepas itu, saya cuba ikat tali ampaian pada pokok dan menyeberang arus deras dengan membawa seorang demi seorang termasuk dua abang, adik dan jiran.

"Sehingga jam 8 malam, kami semua selamat menyeberangi sungai dan berpindah ke tempat selamat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mangsa banjir, Siti Mariam Isa, 70, pula berkata, disebabkan suaminya, Saad Mat Piah, 70, lumpuh, dia mengambil keputusan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) segera kerana bimbang kejadian tidak diingini berlaku.

"Saya takut, bila tengok air naik terus nak pindah, orang lain boleh cakap senang saja, tapi kami yang merasainya," katanya.

Seorang lagi mangsa Che Mah Wahab, 70, berkata, sebaik sahaja menyedari rumah dinaiki air, dia dengan segera mengambil keputusan berpindah.

"Takut dia lain macam, sebab dah pernah rasa, sebab itu kami cepat-cepat pindah ke PPS," katanya.