Persekitaran tak selamat, mangsa masih berada di PPS

Keadaan selut tebal meliputi kawasan penempatan penduduk selepas banjir surut. - Foto Ihsan APM Kedah
Keadaan selut tebal meliputi kawasan penempatan penduduk selepas banjir surut. - Foto Ihsan APM Kedah
A
A
A

BALING - [DIKEMAS KINI] Mangsa banjir yang masih ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini belum dibenarkan pulang berikutan keadaan persekitaran dibimbangi tidak selamat.

Pegawai Pertahanan Awam daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, seramai 106 mangsa membabitkan 31 keluarga masih berada di dua PPS, berbanding 128 mangsa daripada 36 keluarga pada Rabu.

Menurutnya, dua PPS tersebut adalah Dewan Terbuka Kampung Padang Empang dan Dewan Masjid Al-Huda, Kampung Hangus, di Kupang.

"Seramai 94 mangsa daripada 30 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Terbuka Kampung Padang Empang manakala 12 mangsa daripada sebuah keluarga di PPS Dewan Masjid Al-Huda," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mohd Faizol berkata, keadaan cuaca di Kupang kelihatan cerah namun masih tidak menentu menyebabkan sebahagian mangsa tidak dibenarkan pulang ke rumah kerana dibimbangi tidak selamat.

"Penduduk terlibat dinasihatkan tinggal di PPS sehingga keadaan pulih, namun difahamkan ada antara mangsa pulang sekejap untuk bersihkan rumah dan datang semula ke PPS untuk menginap," ujarnya

Dalam pada itu, beliau berkata, kesemua data masuk dan keluar PPS akan direkodkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), manakala pemeriksaan kesihatan dilakukan oleh pembantu perubatan Kementerian Kesihatan.

Penduduk terlibat ditempatkan di dua PPS yang dibuka sejak Selasa. Foto Ihsan APM Kedah
Penduduk terlibat ditempatkan di dua PPS yang dibuka sejak Selasa. Foto Ihsan APM Kedah

"Mangsa banjir di PPS sentiasa dipantau supaya terhindar daripada penyakit berjangkit. JKM pula akan merekodkan mangsa yang berpindah ke PPS supaya mereka berada dalam keadaan selesa, terutama warga emas yang uzur," katanya.

Menurutnya, Jambatan Bailey masih ditutup kepada orang ramai manakala kerja pembaikan sedang dilakukan oleh jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Keadaan cuaca di Baling masih hujan di sesetengah tempat. Kami nasihatkan penduduk yang tinggal berhampiran laluan sungai atau kawasan rendah supaya tinggalkan rumah demi keselamatan," katanya.

Pada Selasa, hujan lebat lebih tiga jam bermula pada 2 petang menyebabkan air Sungai Kupang melimpah ke kawasan penempatan penduduk yang tinggal berdekatan tebing sungai.

Artikel Berkaitan: