Lapan syarikat didakwa di mahkamah tahun ini

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Lapan syarikat telah didakwa di mahkamah atas pelbagai kesalahan termasuk cuai hingga menyebabkan kemalangan di tempat kerja di Terengganu pada tahun ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Terengganu, Mohd Zahari Hitam berkata, pendakwaan itu direkodkan dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini bermula Januari lalu.

“Daripada jumlah tersebut, lima kes pendakwaan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, dua di Mahkamah Majistret Dungun manakala satu lagi di Mahkamah Sesyen Kemaman,” katanya di sini pada Rabu.

Menurut beliau, terbaharu sebuah syarikat kejuruteraan didenda RM30,000 di Mahkamah Sesyen Kemaman pada Selasa selepas seorang pekerjanya meninggal dunia kerana terlibat kemalangan di tempat kerja.

Mohd Zahari berkata, pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 15 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 kerana majikan gagal menyediakan sistem kerja selamat bagi kerja mengangkat dan mengecat paip hingga menyebabkan kemalangan maut kepada pekerjanya.

“Kita harap kes ini dapat memberi pengajaran kepada majikan dan pekerja untuk patuh kepada undang-undang demi memelihara kepentingan awam serta keselamatan pekerja,” katanya.

Jelas Mohd Zahari, JKKP bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan orang yang sedang bekerja, dan melindungi orang lain daripada bahaya keselamatan serta kesihatan berpunca daripada aktiviti pekerjaan pelbagai sektor.

Katanya, JKKP telah merangka strategi dikenali sebagai Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2025 (OSHMP 25) yang merupakan agenda negara bagi mengurangkan kadar kecederaan pekerjaan serta meningkatkan kesedaran kepentingan kawalan terhadap penyakit pekerjaan.

Artikel Berkaitan:

“Melalui OSHMP 25, kita menyasarkan penurunan 23.5 peratus kadar kecederaan maut pekerjaan iaitu 2.93 bagi setiap 100,000 orang dan penurunan 21.4 peratus kadar kecederaan pekerjaan iaitu 2.13 bagi setiap 1,000 orang pekerja menjelang tahun 2025,” katanya.