[VIDEO] Penyelia syarikat didakwa jual lot tanah tidak wujud

Sevasangar (dua dari kiri) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Alor Gajah pada Rabu.
Sevasangar (dua dari kiri) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Alor Gajah pada Rabu.
A
A
A

ALOR GAJAH - Seorang penyelia syarikat pembersihan didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah di sini pada Rabu atas enam pertuduhan penipuan penjualan lot tanah tidak wujud bernilai RM60,661pada Mei tahun lalu.

S Sevasangar, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nurul Bahiyah Kamaluddin.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa memperdayakan enam individu membabitkan pesara, kontraktor, pemandu lori, juru elektrik dan dua rakan sekerjanya dengan menawarkan penjualan tanah tidak wujud di sekitar Alor Gajah dan Jasin.

Tindakan itu dikatakan telah mendorong enam mangsa berusia antara 36 hingga 53 tahun membayar antara RM2,051 hingga RM33,120 secara berperingkat.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Taman Pengkalan Indah dan kedai serbaneka di Pengkalan, Alor Gajah antara Mei 2022 hingga Mac lalu.

Dipercayai kesemua mangsa ditawarkan penjualan lot tanah dengan harga murah dan akan memperoleh keuntungan lumayan apabila tanah tersebut dijual kepada pihak lain dengan harga lebih tinggi.

Pendakwaan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharina Farhana Nor Sa'ari mencadangkan jaminan berjumlah RM57,000 bagi keseluruhan pertuduhan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu wang jaminan dikurangkan dengan alasan baharu dihalau keluar dari rumah sewa selain menanggung isteri dan anak.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM28,000 bagi semua pertuduhan selain menetapkan 23 Jun depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.