Petisyen Najib: Pemuda UMNO bidas Mujahid

MOHAMAD HAMIDI
MOHAMAD HAMIDI
A
A
A

IPOH - Pemuda UMNO Bahagian Lenggong menyifatkan Pakatan Harapan (PH) Perak sebagai hipokrit apabila mempersoalkan tindakan UMNO Perak memulakan kutipan petisyen bagi mendapatkan pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketuanya, Mohamad Hamidi Baharuddin berkata, kenyataan Pengerusi PH Perak, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof terhadap usaha UMNO Perak itu dilihat seperti menangguk di air keruh yang berniat jahat bagi mencalar reputasi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Jelas beliau, jika dengan anggapan Mujahid, gerakan petisyen pembebasan Najib itu diibaratkan menyokong perasuah, ia memberi gambaran petisyen pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dibuat pembangkang sebelum ini boleh dianggap menyokong kesalahan dilakukan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

"Kalau dulu kes Anwar selama lima tahun perbicaraan, puak pembangkang kata kes dipercepatkan. Menurut mereka keadilan yang dipercepatkan adalah keadilan yang dibenam. Mereka berkokok mengatakan sistem kehakiman korup, campur tangan politik, tidak tegakkan kedaulatan undang-undang dan sebagainya.

"Tapi, apabila kes Najib yang mengambil masa empat tahun, dengan bukti baharu yang dinafikan, ruang tambahan yang dinafikan, pihak pembangkang kata ini taktik untuk tangguh kes. Senang cakap, mereka buat tak mengapa, UMNO buat salah dan mengheret rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mohamad Hamidi berkata, UMNO bukan parti pengecut yang sanggup menggugurkan kes berkaitan pemimpin mereka apabila mengambil alih tampuk kepimpinan negara seperti dilakukan PH semasa 22 bulan memerintah.

Pada Isnin lalu, Mujahid dalam satu kenyataan berkata, tindakan melancarkan petisyen bagi memohon pengampunan diraja untuk Najib seperti yang digerakkan UMNO negeri sebagai tidak wajar.

Menurutnya, keadaan itu menggambarkan seolah-olah Saarani gagal memahami fakta kes yang jelas dikaitkan dengan salah guna kuasa.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun Saarani ketika menjawab kenyataan berkenaan mengandaikan Mujahid mungkin tersalah tafsir laporan mengenai tindakan UMNO Perak mahu mengumpul petisyen Pengampunan Diraja untuk Najib.

Jelasnya Ketua UMNO Bahagian Lenggong itu, kenyataan berkenaan sebagai menjawab soalan wartawan yang bertanya mengenai kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa rakyat akan kecewa jika Najib dibebaskan selepas didapati bersalah oleh mahkamah.