UPSI taja 25 pesalah muda sambung pengajian

Jabatan Penjara Malaysia memeterai Nota Kerjasama bersama UPSI dalam satu upacara di Bangi Resort Hotel, Bangi pada Selasa.
Jabatan Penjara Malaysia memeterai Nota Kerjasama bersama UPSI dalam satu upacara di Bangi Resort Hotel, Bangi pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Penjara Malaysia memeterai Nota Kerjasama bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi memberi peluang kepada 25 pesalah muda mengikuti Program Pengajian Diploma Keusahawanan.

Jabatan itu dalam satu kenyataan berkata, yuran pengajian berjumlah RM295,500 akan dibiayai sepenuhnya oleh Pusat Wakaf Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah UPSI untuk menaja 25 pesalah muda yang layak dari seluruh negara.

"Peruntukan sebanyak RM10,380 untuk setiap seorang pelajar yang dijangka memulakan pengajian pada September secara sepenuh masa selama dua tahun merangkumi enam semester di Sekolah Integriti Penjara Kluang, Johor.

"Pemilihan pelajar yang layak akan dilakukan berdasarkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mereka," menurut kenyataan itu pada Selasa.

Nota Kerjasama itu ditandatangani oleh Komisioner Jeneral Penjara, Datuk Nordin Muhamad dan Naib Canselor UPSI Datuk Dr Md Amin Md Taff disaksikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri Datuk Abdul Halim Rahman di Bangi Resort Hotel, Bangi pada Selasa.

Jabatan Penjara Malaysia berkata, program itu selaras dengan usaha mereka menjadikan institusi itu sebagai sebuah pusat pembangunan ketamadunan manusia dan mempersiapkan pesalah untuk mencari pekerjaan selepas dibebaskan kelak.

Sementara itu, Nordin Muhamad dan Md Amin menyifatkan program pemulihan berunsur pendidikan akan memberi peluang kedua kepada pesalah muda sebagai alternatif dinamik untuk mengurangkan kadar residivis negara.

"Penyediaan pelbagai peluang program pemulihan banduan berunsurkan pendidikan yang berterusan dan terancang mampu mempengaruhi perkembangan potensi golongan penghuni untuk tidak kembali melakukan kesalahan selepas dibebaskan.

Artikel Berkaitan:

"Pemerkasaan golongan pesalah muda menerusi peluang pendidikan kedua ini boleh bertindak sebagai alternatif dinamik dalam memacu langkah progresif pihak institusi untuk terus mengiktiraf yang setiap banduan ada fungsi dan keupayaan tersendiri ke arah mengubah kadar residivis negara," ujar mereka.