Keputusan STAM 2025 membanggakan - Fadhlina

SHAH ALAM - Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Tahun 2025 yang diumumkan semalam disifatkan sebagai sangat membanggakan apabila mencatatkan pelbagai pencapaian positif.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, seramai 4,382 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan STAM 2025 di 135 pusat peperiksaan di seluruh negara dengan peratus kehadiran keseluruhan mencecah 98.7 peratus.
Menurutnya, calon di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut merekodkan peratus kehadiran yang tinggi iaitu sebanyak 99.1 peratus.
STAM 2025 turut mencatat sejarah tersendiri apabila melibatkan kohort pertama yang mengikuti Kurikulum Bersepadu Dini (KBD) Menengah Atas dan Kurikulum Tingkatan Enam Dini melalui tempoh pengajian selama tiga tahun.
“Pengukuhan kurikulum hasil kerjasama dengan al-Azhar al-Sharif menunjukkan hasil yang memberangsangkan apabila Gred Purata Kebangsaan (GPK) merekodkan pencapaian 2.81 mata,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, Gred Purata bagi calon sekolah KPM juga mencatatkan pencapaian yang baik iaitu 2.63 mata.
Dalam pada itu, seramai 61 calon memperoleh pangkat Mumtaz (Cemerlang) dalam semua 10 mata pelajaran, termasuk 30 calon daripada sekolah di bawah KPM.
Secara keseluruhan, seramai 2,816 calon berjaya melepasi syarat kelayakan untuk dianugerahkan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
Fadhlina berkata, calon turut menunjukkan keupayaan menguasai format baharu bagi empat mata pelajaran utama iaitu Hifz al-Quran dan Tajwid, Tauhid dan Mantiq, Hadith dan Mustolah serta Insya’ dan Mutalaah.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua guru, ibu bapa, petugas peperiksaan dan pemeriksa yang memastikan kelancaran pengurusan peperiksaan STAM 2025.
“Buat semua calon, semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk terus cemerlang pada masa hadapan,” tambahnya.
Ringkasan AI
- Keputusan peperiksaan STAM 2025 sangat membanggakan dengan pencapaian positif
- Seramai 4,382 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan STAM 2025
- STAM 2025 melibatkan kohort pertama yang mengikuti Kurikulum Bersepadu Dini
- Gred Purata Kebangsaan (GPK) mencatatkan pencapaian 2.81 mata
- Seramai 61 calon memperoleh pangkat Mumtaz (Cemerlang) dalam semua 10 mata pelajaran
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

