Kerajaan tegas lindungi keselamatan tetamu negara - Fahmi

Fahmi
Fahmi
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan akan mengambil langkah tegas bagi memastikan keselamatan tetamu negara semasa melakukan lawatan ke Malaysia, kata Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa mesyuarat Jemaah Menteri hari ini menegaskan bahawa kerajaan tidak akan membenarkan mana-mana pihak mencetuskan gangguan semasa negara menerima tetamu.

"Langkah tegas akan diambil untuk pastikan dan jamin keselamatan awam dan juga tetamu negara sentiasa terpelihara," kata Fahmi pada sidang media pascamesyuarat Kabinet, di sini, hari ini.

Malaysia akan menerima lawatan rasmi Perdana Menteri India, Narendra Modi selama dua hari bermula esok bagi membalas lawatan Anwar ke India pada Ogos 2024.

Menurut kenyataan Wisma Putra, Modi akan diberi sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, diikuti mesyuarat dua hala bersama dengan Anwar di Kompleks Sri Perdana pada Ahad.

Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan pelbagai isu hubungan dua hala serta mempelopori peluang kerjasama, terutamanya dalam sektor perdagangan dan pelaburan, pertahanan dan keselamatan, tenaga kerja, pelancongan, kesalinghubungan, pertanian dan pendidikan.

Selain itu, kedua-dua Perdana Menteri akan turut menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman dalam bidang pembanterasan dan pencegahan rasuah, piawaian latihan, pensijilan dan pengawasan bagi pelaut, pengurusan bencana dan perjanjian mengenai penerbitan audio visual.

Satu Memorandum Kerjasama dalam bidang tenaga kerja juga akan dimeterai selain Pertukaran Nota yang meliputi bidang semikonduktor, kesihatan, keselamatan negara serta pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional.

Kedua-dua pemimpin akan menyaksikan Pertukaran Surat mengenai kerjasama pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan penyerahan Perjanjian Rangka Kerja International Big Cats Alliance.

Artikel Berkaitan:

India ialah rakan dagang terbesar Malaysia di rantau Asia Selatan.

Pada 2025, jumlah perdagangan antara Malaysia dengan India mencapai RM79.49 bilion (AS$18.59 bilion) dengan jumlah eksport Malaysia ke India sebanyak RM52.30 bilion (AS$12.24 bilion) dan import berjumlah RM27.19 bilion (AS$6.35 bilion).

Barangan eksport utama merangkumi minyak sawit dan produk pertanian berasaskan sawit, produk elektrikal dan elektronik, manakala import dari India terdiri daripada produk pertanian, produk petroleum dan produk kimia. - Bernama

 

 

TAG:

 

 

Ringkasan AI

  • Kerajaan akan mengambil langkah tegas bagi memastikan keselamatan tetamu negara
  • Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tidak akan membenarkan gangguan semasa tetamu berkunjung
  • Malaysia menerima lawatan rasmi Perdana Menteri India, Narendra Modi selama dua hari
  • Pertemuan kedua-dua pemimpin akan membincangkan isu hubungan dua hala dan peluang kerjasama
  • India adalah rakan dagang terbesar Malaysia di rantau Asia Selatan dengan jumlah perdagangan RM79.49 bilion pada 2025

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!