Kaligrafi jawi antara tarikan pengunjung Karangkraf Ramadan Bookfest

Nurzulaikha Zahra (kiri) membuat tempahan tulisan jawi untuk adik dan rakan sekerja. Penulis tulisan jawi sedang menyiapkan tempahan pengunjung Karangkraf Ramadan Bookfest
Nurzulaikha Zahra (kiri) membuat tempahan tulisan jawi untuk adik dan rakan sekerja. Penulis tulisan jawi sedang menyiapkan tempahan pengunjung Karangkraf Ramadan Bookfest
A
A
A

SHAH ALAM – Penganjuran seni kaligrafi Jawi di Karangkraf Ramadan Bookfest selama 10 hari mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung khususnya mereka yang berminat mengabadikan nama dalam bentuk tulisan tersebut.

Penolong Pengurus Jualan Grup Buku Karangkraf, Norhaslinda Izham berkata, aktiviti khas kaligrafi itu diadakan setiap hari sepanjang pameran berlangsung, bermula jam 9 pagi hingga 7 petang.

Menurutnya, inisiatif berkenaan bertujuan memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan perkhidmatan kaligrafi secara terus daripada penulis berpengalaman.

“Pemilihan seni kaligrafi ini menjadi tarikan tambahan sepanjang Bookfest dan selari dengan fokus penganjur yang menerbitkan al-Quran, buku ilmiah, novel serta pelbagai produk berunsur keilmuan.

“Pengunjung turut ditawarkan pakej istimewa termasuk perkhidmatan menulis nama dalam tulisan Jawi yang boleh disesuaikan mengikut cita rasa masing-masing.

“Mereka boleh menjadikan hasil kaligrafi ini sebagai penanda buku, hiasan al-Quran atau dekorasi peribadi.

"Di luar agak sukar mendapatkan khidmat kaligrafi nama secara terus, namun di sini kami menyediakan pakar,” katanya kepada Sinar Harian.

Pengunjung melihat beberapa al-Quran yang dijual di Karangkraf Ramadan Bookfest
Pengunjung melihat beberapa al-Quran yang dijual di Karangkraf Ramadan Bookfest

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian ditemui di Karangkraf Ramadan Bookfest yang berlangsung bermula 30 Januari hingga 8 Februari ini di Kompleks Karangkraf, Seksyen 15 di sini.

Tambah beliau, pelanggan juga diberi kebebasan memilih saiz, reka bentuk dan konsep yang diinginkan bagi memastikan hasilnya benar-benar menepati cita rasa pengguna sama ada sebagai kenangan atau hadiah istimewa.

Mengulas perkembangan seni kaligrafi dalam masyarakat, Norhaslinda memberitahu, pendedahan terhadap seni tersebut masih terhad walaupun ramai mempunyai bakat dalam bidang seni lukis.

“Tujuan kami bukan sekadar jualan, tetapi untuk memperkenalkan seni kaligrafi sebagai satu warisan seni yang wajar diangkat agar lebih dikenali masyarakat.

“Selain itu, penganjur turut menawarkan pelbagai barangan dan keperluan ibadat seperti sejadah, telekung, tasbih dan barangan berkaitan,” ujarnya.

Sementara itu, seorang pengunjung, Nurzulaikha Zahra Sanusi, 23, berkata, dia memilih untuk membuat kaligrafi sebagai kenangan dan hadiah.

“Saya datang nak cari buku, tapi bila nampak ada perkhidmatan tulisan ini, saya terus buat untuk diri sendiri, adik dan kawan sekerja. Saya harap mereka suka, sebab dah lama cari dan kali ini baru berpeluang buat.

“Saya tahu tentang bookfest ini menerusi laman sosial dan terus rasa tertarik untuk datang kerana banyak aktiviti menarik yang ditawarkan,” katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!