Konflik Sudan: UniSHAMS tawar peluang sambung pengajian

UniSHAMS menawarkan peluang sambung pengajian terhadap 18 pelajar Malaysia yang terkesan akibat pergolakan di Sudan. - Foto UniSHAMS
UniSHAMS menawarkan peluang sambung pengajian terhadap 18 pelajar Malaysia yang terkesan akibat pergolakan di Sudan. - Foto UniSHAMS
A
A
A

SUNGAI PETANI - Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) menawarkan peluang sambung pengajian kepada 18 pelajar Malaysia yang terkesan akibat pergolakan di Sudan baru-baru ini.

Pejabat Naib Canselor UniSHAMS dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya juga menyediakan pembelajaran dalam bahasa Arab dan memiliki lebih 30 tenaga pengajar antarabangsa dari negara-negara Arab.

"Tawaran menyambung pengajian ini merangkumi bidang dan peringkat pengajian berkaitan dan ianya tertakluk kepada perbincangan lanjut serta kelulusan pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

"UniSHAMS bersedia menawarkan pemindahan kredit maksimum dalam usaha memastikan kesinambungan pengajian untuk kesemua 18 pelajar Malaysia yang terjejas dapat ditangani dengan segera.

"Bagaimanapun, ia tertakluk kepada Peraturan Akademik UniSHAMS dan kelulusan pihak KPT," kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, UniSHAMS menawarkan 42 program yang mendapat akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan diluluskan oleh Jabatan Pengajian Tinggi (JPT).

Pengajian ditawarkan dalam pelbagai bidang dan peringkat bermula dari Asasi, Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Diploma Pasca Siswazah, Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah.

Sebelum ini, media melaporkan data yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), korban akibat pergolakan di Sudan sehingga kini meningkat kepada lebih 400 orang, manakala 3,500 lagi cedera.

Konflik bersenjata berkenaan tercetus sejak dua minggu lalu antara Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF).