'Pelabur Amerika tunjuk minat, keterujaan tinggi terhadap ART' - Duta Besar AS ke Malaysia

Edgar
Edgar
A
A
A

GEORGE TOWN – Pelabur Amerika Syarikat (AS) menunjukkan minat dan keterujaan tinggi terhadap Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang dilihat mampu memberi isyarat keyakinan jangka panjang kepada pasaran, selain mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan strategik.

Duta Besar AS ke Malaysia, Edgar D Kagan berkata, walaupun hubungan perdagangan antara kedua-dua negara berkembang pesat tanpa perjanjian rasmi sebelum ini, ART membawa mesej penting kepada pelabur bahawa AS dan Malaysia komited untuk terus memperkukuh integrasi ekonomi secara berterusan.

“Pelabur Amerika sangat teruja dengan ART. Dalam kebanyakan perjanjian perdagangan, butiran memang penting, namun nilai sebenar terletak pada isyarat jangka panjang yang dihantar kepada pelabur,” katanya ketika sesi pertemuan bersama media di Penang Institute di sini pada Jumaat.

Menurut beliau, ART membuka peluang eksport bernilai lebih AS$6 bilion kepada firma dan pengeluar Malaysia yang sebahagian besarnya memberi manfaat kepada komuniti luar bandar, selain memperkukuh hubungan dagangan dua hala.

Kagan menambah, perjanjian itu turut dilihat sebagai komitmen politik dan ekonomi bahawa kedua-dua negara melihat manfaat untuk merapatkan ekonomi masing-masing, sekali gus meningkatkan keyakinan syarikat yang sedang mempertimbangkan pelaburan antarabangsa.

“ART memberi keyakinan bahawa terdapat kesediaan jangka panjang untuk bekerjasama. Ini sangat penting kepada pelabur kerana mereka mahukan kepastian dan kestabilan sebelum membuat keputusan besar,” ujarnya.

Beliau berkata, kesan positif ART turut dapat dilihat menerusi prestasi perdagangan dua hala yang memberangsangkan apabila perdagangan AS–Malaysia meningkat 13 peratus tahun lalu, dengan eksport Malaysia ke AS melonjak lebih 14 peratus, manakala eksport AS ke Malaysia meningkat kira-kira lapan peratus.

“Ini merupakan pencapaian yang sangat baik, terutamanya jika dibandingkan dengan jangkaan ekonomi global pada awal 2025. ART mengukuhkan lagi keyakinan bahawa hubungan perdagangan ini berada pada landasan yang betul,” katanya.

Mengulas mengenai kestabilan pelaburan jangka panjang, Kagan berkata, ART memainkan peranan penting dalam memberi keyakinan khususnya kepada sektor strategik seperti semikonduktor serta elektrik dan elektronik (E&E), dengan Pulau Pinang kekal sebagai hab utama industri tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Saya tidak akan mengatakan ART secara automatik membuka jumlah pelaburan tertentu, namun ia menghantar isyarat yang sangat jelas kepada syarikat bahawa Malaysia serius untuk mengukuhkan dan melindungi hubungan ekonomi dengan AS,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengakui ART menerima kritikan dan menjadi bahan perdebatan dalam negara, namun menegaskan perjanjian tersebut perlu dinilai berdasarkan manfaat jangka panjang kepada rakyat.

“Dalam sebuah demokrasi, perbahasan adalah perkara biasa. Namun akhirnya, keputusan perlu dibuat berdasarkan apa yang terbaik untuk rakyat dan masa depan ekonomi negara,” katanya.

Tambah Kagan, pelabur AS melihat ART sebagai pengukuh kepada kelebihan utama Malaysia iaitu integrasi kukuh dalam rantaian bekalan global, yang menjadi antara faktor utama negara ini terus menarik pelaburan berkualiti tinggi.

“Syarikat tidak datang ke Malaysia semata-mata untuk satu pasaran. Mereka datang kerana Malaysia merupakan sebahagian penting rantaian bekalan global, dan ART mengukuhkan lagi kedudukan itu,” ujarnya.

Beliau turut menyatakan harapan agar pelaksanaan ART dapat disegerakan kerana perjanjian itu bukan sahaja melindungi perdagangan sedia ada, malah berpotensi menarik lebih banyak pelaburan Amerika ke Malaysia dalam jangka panjang.

Pada 27 Oktober lalu, Presiden AS, Donald Trump dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memeterai ART yang membolehkan sehingga 1,711 produk Malaysia termasuk minyak sawit, getah dan koko, serta beberapa komponen farmaseutikal dan peralatan aeroangkasa dieksport ke AS pada kadar tarif lebih rendah daripada 19 peratus.

Ringkasan AI

  • Pelabur Amerika Syarikat menunjukkan minat tinggi terhadap Perjanjian Perdagangan Timbal Balas dengan Malaysia
  • ART memberi keyakinan dan menunjukkan komitmen untuk memperkukuh integrasi ekonomi antara AS dan Malaysia
  • Perjanjian ini membuka peluang eksport bernilai lebih AS$6 bilion untuk Malaysia, menguntungkan komuniti luar bandar
  • Prestasi perdagangan dua hala meningkat dengan eksport Malaysia ke AS melonjak lebih 14 peratus
  • ART diharap dapat menarik lebih banyak pelaburan Amerika ke Malaysia dalam jangka panjang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!