Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam diumum masa terdekat

Mohd Zuki - Foto Bernama
Mohd Zuki - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam yang dijalankan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kini di peringkat akhir sebelum hasil kajian itu diumumkan dalam masa terdekat, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

"Kajian sistem saraan dalam tindakan akhir kami dan pihak kerajaan putuskan agar JPA buat kajian mengenai bagaimana ingin transformasi perkhidmatan awam.

"Perkara ini telah dibentang beberapa kali dalam mesyuarat jawatankuasa kabinet... bila telah dimuktamadkan kami akan umumkan... mungkin dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-18 (MAPPA XVIII) di sini pada Selasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada MAPPA XVIII itu berkata, kerajaan bersetuju agar JPA menyegerakan kajian ke atas Sistem Saraan Perkhidmatan Awam dengan mengambil kira keseluruhan aspek modal insan, saraan dan perkhidmatan agar relevan dengan keadaan semasa serta kemampuan kewangan kerajaan.

Mengenai inisiatif baharu dan penambahbaikan untuk perkhidmatan awam yang diumumkan Ismail Sabri hari ini, Mohd Zuki berkata, ia akan menjadi pendorong kepada penjawat awam untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

"Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana sentiasa mengiktiraf sumbangan penjawat awam terutama ketika Covid-19 melanda negara.

"Ini masanya untuk penjawat awam balas dengan berikan perkhidmatan terbaik terutama kita dalam peringkat untuk pulihkan ekonomi selepas Covid-19 melanda,” katanya.

Perdana Menteri pada Selasa mengumumkan beberapa inisiatif baharu dan berita gembira buat penjawat awam antaranya tambahan khas RM100 dalam Bayaran Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) dan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) Tahun 2023.

Artikel Berkaitan:

Ismail Sabri berkata, KGT tambahan khas sebanyak RM100 itu adalah bagi penjawat awam Gred 11 hingga Gred 56 dan akan dibayar mulai Januari 2023, yang akan melibatkan kira-kira 1.28 juta penjawat awam serta implikasi kewangan sebanyak RM1.5 bilion.

BKK Tahun 2023 kepada anggota perkhidmatan awam Gred 56 ke bawah berjumlah RM700 dan RM350 bagi pesara kerajaan dan veteran tidak berpencen yang akan dibayar pada Januari 2023.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah berkata, pengumuman Perdana Menteri untuk perkhidmatan awam itu akan menjadi pemangkin untuk penjawat awam terus bekerja keras untuk rakyat.

"Inisiatif ini beri semangat untuk penjawat awam meningkatkan produktiviti bagi memberikan perkhidmatan terbaik untuk rakyat,” katanya. - Bernama