Jangan samakan tentera dengan perkhidmatan awam - Jalil

Jalil
Jalil
A
A
A

SHAH ALAM - Pengarah Operasi Konsortium Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Kolonel (B) Jalil Ithnin menegaskan bahawa perkhidmatan awam dan tentera adalah berbeza mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Menurut beliau, tentera di bawah Perkara 137 manakala kakitangan awam pula Perkara 139 yang mana ia menyatakan bahawa Majlis Angkatan Tentera (MAT) hendaklah bertanggungjawab terhadap kuasa am (pemerintahan, tatatertib dan pentadbiran ATM), Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

“Perkara ini jelas menyatakan bahawa tentera di bawah seliaan MAT dan perkhidmatan awam pula Suruhanjaya Perkhidmatan Awam. Begitu juga dengan Polis Diraja Malaysia yang mana ia di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Polis.

“Jadi apabila kita menafikan kedudukan dan kuasa-kuasa MAT, maka berlakulah perkara yang tidak sepatutnya berlaku,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam Wacana Sinar Siri 401 yang bertajuk Membela Sosioekonomi Veteran Tentera yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini, pada Selasa.

Program itu dihoskan Ismail Adnan dan turut menampilkan dua panelis lain iaitu Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia, Kapten (B) Datuk Sharuddin Omar.

Mengulas lanjut, Jalil menjelaskan masalah tersebut berlaku adalah disebabkan undang-undang yang dibuat oleh British pada tahun 1884 tidak berubah sehingga kini.

Tambah beliau, tidak sepatutnya orang yang tidak mempunyai kuasa menentukan syarat-syarat perkhidmatan.

“Saya begitu kecewa apabila memeriksa Peraturan-peraturan Angkatan Tetap (Pencen, Ganjaran dan Faedah-faedah lain) 1982. Ada satu perkara yang mana hak menentukan gaji bagi ATM diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Saya menyoal kepada diri sendiri, adakah agensi itu boleh melangkaui kuasa MAT JPA itu dilantik oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN). Adakah KSN itu kedudukannya lebih tinggi daripada YDPA?” soalnya.