Penjawat awam gred 11 hingga 56 terima KGT tambahan khas RM100

Ismail Sabri menyampaikan amanat pada majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-18 (MAPPA XVIII) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Selasa. - Foto Bernama
Ismail Sabri menyampaikan amanat pada majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-18 (MAPPA XVIII) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Seramai 1.28 juta penjawat awam gred 11 hingga 56 bakal menerima bayaran kenaikan gaji tahunan (KGT) tambahan khas sebanyak RM100.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bayaran KGT itu merupakan antara enam inisiatif ditawarkan kerajaan terhadap penjawat awam melibatkan implikasi kewangan RM1.5 bilion.

"Bayaran KGT ini dibuat mulai Januari tahun depan," katanya dalam ucapan Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-18 (MAPPA XVIII) di sini, pada Selasa.

Mengambil contoh penjawat awam gred 11 yang menerima kadar KGT RM80 sebelum ini, Ismail Sabri berkata, kakitangan tersebut akan menerima kadar KGT asas RM80 dan tambahan khas sebanyak RM100.

"Ini menjadikan jumlah KGT diterima beliau pada tahun 2023 adalah sebanyak RM180," katanya.

Pengumuman inisiatif itu disambut sorakan dan tepukan oleh lebih 4,000 penjawat awam yang memenuhi Dewan Plenary Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs), Datuk Adnan Mat dan menteri kabinet.

Menurutnya, inisiatif Bantuan Khas Kewangan (BKK) RM700 akan dibayar kepada anggota perkhidmatan awam Gred 56 ke bawah manakala RM350 bagi pesara dan veteran tidak berpencen.

Artikel Berkaitan:

"Bantuan ini akan diberikan pada Januari 2023," ujarnya.

Beliau berkata, kadar maksimum jumlah cuti rehat yang boleh dikumpulkan bagi tujuan penganugerahan wang tunai (GCR) juga dinaikkan dari 160 ke 180 hari.

"Dengan kenaikan kadar maksimum GCR ini membolehkan cuti tersebut disimpan bagi tujuan award wang tunai sekali gus meningkatkan tunai di tangan pada hari persaraan kelak," katanya.

Ismail berkata, kerajaan turut mengumumkan cuti rehat khas tambahan lima hari kepada pegawai perkhidmatan pendidikan yang telah berkhidmat melebihi 10 tahun, menjadikan jumlahnya 15 hari setahun.

"Ini akan memberi manfaat kepada lebih 500,000 guru bagi urusan-urusan yang mustahak dan kecemasan dibenarkan serta memberi peluang mereka mengumpul jumlah GCR lebih tinggi," ujar Ismail Sabri.

Beliau berkata, tafsiran ahli keluarga bagi kemudahan cuti tanpa rekod diperluaskan untuk urusan kematian ahli keluarga terdekat.

"Ia melibatkan kematian adik-beradik, nenek dan datuk bagi anggota perkhidmatan awam," katanya.

Tambah Ismail Sabri, kerajaan bersetuju menambahbaik kadar tetap tiga peratus semasa yang diterima oleh pegawai yang mencapai gaji maksimum kepada suatu kadar baharu dan diseragamkan mengikut gred bagi semua klasifikasi perkhidmatan berkuat kuasa 1 Januari 2023.

"Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan mengeluarkan pekeliling berkaitan bagi penjelasan terperinci perkara ini," katanya.

Dalam majlis itu, Ismail Sabri turut mengucapkan terima kasih kepada penjawat awam yang sentiasa memastikan jentera kerajaan bergerak dengan berkesan, melaksanakan dasar dan menjayakan setiap aspirasi diperkenalkan.

'Insya-ALLAH, sekiranya produktiviti dapat ditingkatkan, ekonomi negara akan bertambah kukuh dan kerajaan akan lebih berupaya meningkatkan kemudahan kepada Keluarga Malaysia seluruhnya.

Apa yang pasti penjawat awam tidak akan dilupakan kerana saya yakin bahawa penjawat awam adalah tonggak aspirasi Keluarga Malaysia," katanya.

Pada perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata, bersetuju agar JPA menyegerakan kajian ke atas Sistem Saraan Perkhidmatan Awam dengan mengambil kira keseluruhan aspek modal insan merangkumi saraan dan perkhidmatan agar relevan dengan keadaan semasa serta kemampuan kewangan kerajaan.

"Keluh kesah anggota perkhidmatan awam sentiasa didengari oleh kerajaan," katanya.


INFO: Enam inisiatif penjawat awam


1) Kadar maksimum jumlah cuti rehat yang boleh dikumpulkan bagi tujuan award wang tunai (GCR) dinaikkan daripada 160 ke 180 hari.

2) Kadar Cuti Rehat Khas bagi guru yang telah berkhidmat lebih 10 tahun ditambah sebanyak lima hari.

3) Tafsiran ahli keluarga bagi kemudahan cuti tanpa rekod urusan kematian ahli keluarga diperluas kepada kematian yang melibatkan adik-beradik, nenek dan datuk anggota perkhidmatan awam.

4) Penambahbaik kadar tetap tiga peratus semasa bagi pegawai yang mencapai gaji maksimum kepada satu kadar baharu.

5) Bayaran Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) tambahan khas sebanyak RM100 untuk penjawat awam gred 11 hingga gred 56 dan akan dibayar mulai Januari 2023.

6) Bantuan Khas Kewangan (BKK) Tahun 2023. RM700 untuk anggota perkhidmatan gred 57 ke bawah. RM350 bagi pesara dan veteran tidak berpencen yang akan diberi pada Januari 2023.