Pendakwaan tarik balik surat beri keutamaan kes Ahmad Zahid

Ahmad Zahid hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menghadapi perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram pada Selasa.
Ahmad Zahid hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menghadapi perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan telah menarik balik surat yang dihantar kepada Hakim Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa supaya memberikan keutamaan kepada kes penyelewengan dana Yayasan Akalbudi dihadapi Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob berkata demikian ketika prosiding kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Abdul Malik berkata, susulan penarikan semula surat berkenaan, ini memberi makna bahawa perkara itu sudah selesai.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah kemudiannya berkata, tiada siapa yang boleh menentukan kes mahkamah yang mana perlu diberi keutamaan.

“Tiada pihak boleh arahkan mahkamah untuk utamakan sesuatu kes yang sedang dibicarakan maka prosiding akan dijalankan mengikut tarikh yang telah ditetapkan sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, peguam Ahmad Zahid, Datuk Hisyam Teh Poh Teik berkata, surat itu boleh ditafsirkan sebagai memberi tekanan kepada mahkamah.

“Kami berharap perbicaraan ini akan dijalankan mengikut kedaulatan undang-undang,” katanya.

Pada Selasa, tular satu surat tertera nama dan ditandatangani Abdul Malik kepada Setiausaha Sequerah, melalui ciapan sebuah akaun Twitter.

Artikel Berkaitan:

Surat itu menyatakan Abdul Malik diarahkan membuat permohonan kepada hakim Mahkamah Tinggi supaya memberi keutamaan kepada kes Ahmad Zahid, mengatasi kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Permohonan dibuat bagi membolehkan perbicaraan kes yang berada di peringkat pembelaan diselesaikan dengan segera.

Pemilik akaun itu mempersoalkan tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengeluarkan surat berkenaan.

Dia itu turut mendesak AGC supaya memberi maklum balas mengenai perkara tersebut.

Perbicaraan bersambung dengan Ahmad Zahid memberi keterangan membela diri.

Ahmad Zahid berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.