LGM sasar bina enam pusat proses getah krip

Dr Zairossani (belakang, tiga dari kiri) menyaksikan penyerahan bantuan MRC kepada pekebun kecil yang disampaikan Dr Daroyah sempena Program Taklimat Target di balai raya Kampung Kuin 1, Sungai Lembing di sini pada Ahad.
Dr Zairossani (belakang, tiga dari kiri) menyaksikan penyerahan bantuan MRC kepada pekebun kecil yang disampaikan Dr Daroyah sempena Program Taklimat Target di balai raya Kampung Kuin 1, Sungai Lembing di sini pada Ahad.
A
A
A

KUANTAN - Lembaga Getah Malaysia (LGM) menyasarkan pembinaan enam pusat memproses getah krip di seluruh negara tahun ini.

Ketua Pengarah LGM, Datuk Dr Zairossani Mohd Nor berkata, lokasi pembinaannya sudah dikenal pasti termasuk di Kedah dan Pahang.

Menurutnya, langkah itu antara inisiatif di bawah Program Tranformasi Industri Getah (Target) untuk mengubah operasi pengeluaran getah dan membantu pekebun kecil getah di negara ini.

"Sebelum ini kebanyakan pengeluaran getah dalam bentuk sekerap tanpa diproses namun melalui program ini getah akan dibawa ke pusat pengumpulan untuk diproses menjadi getah krip yang berkualiti dan bernilai tinggi.

"Getah krip yang dihasilkan akan memberi nilai tambah untuk harga lebih tinggi kepada pekebun kecil," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Taklimat Target Kepada Pekebun Kecil Getah di balai raya Kampung Kuin 1, Sungai Lembing di sini pada Ahad.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Getah Malaysia (MRC), Dr Daroyah Alwi.

Dr Zairossani berkata, taklimat yang diadakan juga turut memberi pendedahan kepada pekebun kecil berhubung Inisiatif Pengeluaran Latex (IPL).

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pekebun kecil digalakkan menghasilkan kembali latex untuk keperluan industri kerana ketika ini negara memerlukan lebih 400,000 tan latex berbanding kurang 50,000 tan yang dihasilkan hingga terpaksa diimport.

"Melalui IPL, kerajaan menyediakan pelbagai insentif termasuk bantuan alat penorehan dan penyediaan pusat pengumpulan sebelum dihantar ke kilang untuk diproses.

"Kerajaan juga menyediakan insentif RM1 bagi setiap kilogram latex dihasikan selain bantuan input pertanian seperti baja berjumlah RM850 sehektar setahun bagi pekebun kecil yang memberikan komitmen," katanya.

Sementara itu katanya, pekebun kecil juga digalakkan mendaftar kad pekebun kecil untuk membolehkan mereka menerima inisiatif yang disediakan kerajaan termasuk dari LGM dan agensi lain.

Beliau berkata, setakat ini terdapat 300,000 pemegang kad pekebun kecil seluruh negara.

"Kad ini penting sebagai pangkalan data untuk memantau dan melaksanakan strategi pekebun kecil dan ia diberikan secara percuma kepada pemilik kebun atau penoreh getah di kebun milik pihak lain," katanya.

Ujar beliau, pekebun kecil turut diberikan taklimat mengenai penyakit getah luruhan daun yang sedang menyerang tanaman getah di negara ini.

"Kerajaan memperuntukkan RM10 juta kepada LGM untuk kawalan penyakit ini bagi mengenal pasti kawasan terlibat untuk kawalan dan rawatan termasuk di Pahang.

"Masalah penyakit ini perlu ditangani kerana ia boleh menjejaskan pengeluaran hingga 50 peratus," katanya.