Banci Ekonomi libatkan 1.2 juta pertubuhan di seluruh negara

Mohd Uzir (dua dari kanan) menyerahkan Borang BE 2023 kepada Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Pahang, Omar Zakir Bawadi (kiri) selepas memberi penerangan ringkas tentang bancian itu sempena program turun padangnya di sini pada Jumaat.
Mohd Uzir (dua dari kanan) menyerahkan Borang BE 2023 kepada Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Pahang, Omar Zakir Bawadi (kiri) selepas memberi penerangan ringkas tentang bancian itu sempena program turun padangnya di sini pada Jumaat.
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) akan melaksanakan Banci Ekonomi 2023 bagi mengumpul maklumat semua pertubuhan perniagaan dan pertubuhan bukan berasaskan keuntungan di seluruh negara termasuk 48,085 di negeri ini.

Ketua Perangkawan Malaysia merangkap Pesuruhjaya Banci Ekonomi 2023, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, bancian untuk tahun rujukan 2022 itu akan melibatkan semua sektor ekonomi iaitu pertanian, pembuatan, pembinaan, perlombongan, pengkuarian dan perkhidmatan.

Menurutnya, Banci Ekonomi 2023 merupakan banci kali kelima dilaksanakan setiap lima tahun sekali.

"Kali terakhir banci ekonomi dilaksanakan pada 2016 (bagi tahun rujukan 2015).

"Banci kali ini telah dirancang dilaksanakan pada 2021 namun terpaksa ditunda berikutan penularan wabak Covid-19," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau sebelum itu hadir ke program turun padang bersama pembanci di sini hari sama.

Jelasnya, program itu diadakan untuk memantau pelaksanaan operasi Banci Ekonomi 2023 di lapangan dan membuat publisiti terhadap pelaksanaan banci secara bersemuka.

"Program sebegini secara tidak langsung dapat memberi hebahan pelaksanaan banci secara bersemuka yang sedang dijalankan di seluruh negara bermula pada 1 April hingga 30 September tahun ini," katanya.

Beliau berkata, Banci Ekonomi 2023 banci pertama yang meliputi semua aktiviti ekonomi pada tahun rujukan 2022.

"Subsektor perdagangan borong dan runcit pertama kali diliputi dalam Banci Ekonomi 2023 berbeza dengan bancian sebelum ini, ia dijalankan secara berasingan.

"Banci ini dilaksanakan di bawah Akta Perangkaan 1965 (Disemak 1989) yang mana Seksyen 5 di bawah akta ini mengkehendaki mana-mana pertubuhan yang beroperasi di negara ini perlu memberikan maklumat sebenar atau anggaran terbaik kepada Jabatan Perangkaan," jelasnya lagi.

Mohd Uzir berkata, dianggarkan 1.2 juta pertubuhan akan diliputi dalam banci ekonomi kali ini.

"Maklumat awal DOSM menganggarkan pertubuhan mikro sebanyak 75.2 peratus, kecil (20.5 peratus), sederhana (1.6 peratus) dan besar (2.7 peratus).

"Diharapkan semua pertubuhan perniagaan dapat memberikan kerjasama kepada pembanci dan maklumat lanjut berkaitan Banci Ekonomi 2023 boleh dilayari di portal Jabatan Perangkaan, www.dosm.gov.my," ujarnya.