KPKT sasar bina 500 Rumah Mesra Rakyat di Kelantan

M Noor Azman (dua dari kanan) bertanya khabar penerima RMR selepas Majlis Penyerahan Kunci Dan Penghargaan RMR SPNB.
M Noor Azman (dua dari kanan) bertanya khabar penerima RMR selepas Majlis Penyerahan Kunci Dan Penghargaan RMR SPNB.
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan untuk membina sebanyak 500 unit Rumah Mesra Rakyat (RMR) di Kelantan sepanjang tahun ini.

Menterinya, Ngar Kor Ming berkata, jumlah berkenaan melibatkan subsidi bernilai RM10 juta daripada Kerajaan Persekutuan.

Beliau memberitahu, sejak program RMR diperkenalkan pada tahun 2002 sebanyak 9,260 unit rumah dibina di negeri ini melibatkan RM185 juta subsidi.

"Dalam tempoh itu jumlah permohonan RMR yang diterima di Kelantan ialah sebanyak 13,719 unit.

"Jumlah itu menjadikan Kelantan sebagai negeri yang mempunyai jumlah pembinaan RMR tertinggi berbanding negeri lain di Malaysia," katanya melalui ucapan Perasmian Majlis Penyerahan Kunci Dan Penghargaan RMR Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) pada Jumaat.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiusaha KPKT, Datuk M Noor Azman Taib.

Hadir sama, Pengerusi SPNB, Datuk Husam Musa dan Ketua Pegawai Eksekutif SPNB, Datuk Hasleen Isnin.

Kor Ming memberitahu, sepanjang Januari hingga April lalu, sebanyak 740 permohonan rumah berkenaan diterima manakala 662 masih dalam senarai menunggu.

Beliau turut memuji penerima RMR di negeri ini yang mencatatkan rekod pembayaran semula pinjaman yang baik kepada SPNB.

"Trend pembayaran ini membantu SPNB membuat pusingan modal awal bagi pembinaan unit RMR yang lain," katanya.

Kor Ming turut memaklumkan seramai 526 kontraktor yang aktif di Kelantan.

"Secara keseluruhan seramai 5,286 berdaftar di bawah SPNB untuk melaksanakan pembinaan RMR di seluruh negara," katanya.