Tiga sekeluarga maut dalam perjalanan bercuti ke Terengganu

Mohd Ali Mohd Amin, 45, (tengah) kelihatan tidak dapat menahan kesedihan dipapah ahli keluarga terdekat selepas membuat pengecaman mayat anaknya, Muhammad Danial Danish Mohd Ali, 12, yang terkorban dalam kemalangan awal pagi Sabtu di Unit Perubatan Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah pada Sabtu. - Foto Bernama
Mohd Ali Mohd Amin, 45, (tengah) kelihatan tidak dapat menahan kesedihan dipapah ahli keluarga terdekat selepas membuat pengecaman mayat anaknya, Muhammad Danial Danish Mohd Ali, 12, yang terkorban dalam kemalangan awal pagi Sabtu di Unit Perubatan Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

TEMERLOH - Tiga sekeluarga yang maut dalam kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) di sini awal pagi Sabtu, dalam perjalanan ke Terengganu dari Kuala Lumpur untuk bercuti sempena hujung minggu.

Muhammad Danial Haziq Erwandi, 20, cucu kepada pasangan warga emas yang maut, Mohmed @ Mohamed Shamsuddin, 75, dan Kamariah Hamzah, 72, berkata, neneknya ada memaklumkan mahu ke Terengganu sekitar jam 6 petang semalam.

"Wan (Kamariah) ada mengajak saya untuk ikut bersama, tapi saya terpaksa menolak kerana bekerja hari ini. Sekitar jam 6 pagi, emak telefon memaklumkan wan dan atok (Mohmed) sudah tiada tapi saya tidak percaya.

"Saya terus hubungi telefon bimbit wan. Tapi panggilan itu dijawab oleh pak cik yang turut serta dalam rombongan itu... dari suara pak cik saya tahu memang wan sudah tiada," katanya kepada Bernama semasa ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di sini pada Sabtu.

Selain Mohmed dan Kamariah, turut maut dalam kemalangan pada jam 3.10 pagi itu ialah cucu mereka, Muhammad Daniel Danish Mohd Ali, 12, dan pemandu trak tunda, Mohd Azuan Zainal Abidin, 53, manakala 12 lagi cedera.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Exora yang mengalami kerosakan sedang dinaikkan ke trak tunda dirempuh sebuah lori kontena yang didakwa terbabas. Turut dirempuh ialah sebuah Proton Waja dinaiki empat sekeluarga.

Muhammad Danial Haziq yang bekerja di kedai kopi dan paling rapat dengan Kamariah kerana dijaga arwah sejak kecil menambah, menjadi kebiasaan untuk datuk dan neneknya membawa cucu serta ahli keluarga bercuti pada hujung minggu.

Sementara itu, anak pasangan tersebut, Azlina, 44, berkata, kali terakhir beliau bertemu ibu bapanya ialah malam tadi, sebelum mereka memulakan perjalanan pada sekitar jam 11 malam.

Beliau berkata, jenazah tiga sekeluarga itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Melawati, seawal yang boleh selepas selesai bedah siasat.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, anak Mohd Azuan, Nor Hanis Syahirah, 17, tidak menyangka semalam adalah hari terakhir dia bertemu dengan bapanya, semasa arwah menghantar keperluan harian dia dan kakaknya Nor Alea Syafiqah, 18, ke asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Abu Bakar di sini.

Kedatangan bapanya pada 5.30 petang semalam, adalah berlainan daripada rutin biasa memandangkan arwah sebelum ini hanya akan datang pada hujung minggu kerana tidak mahu mengganggu hari persekolahan.

"Semasa itu, ayah agak kurang bercakap... saya tersedar jam 5.30 pagi tadi dan kebetulan kakak datang ke asrama dan meminta saya untuk bersiap pulang ke rumah kerana emak saudara datang menjemput. Saya cuba bertanya emak saudara, namun diminta bertanya sendiri kepada umi.

"Bila diberitahu ayah kemalangan, saya ingatkan ayah cedera sahaja sebelum sedar dia sudah tiada apabila melihat kereta kami menuju ke bilik forensik hospital," katanya.

Remaja itu berkata, ayahnya sudah lama bekerja sebagai pemandu trak tunda dengan ANIH Berhad dan walaupun garang, mereka adik-beradik selesa berkongsi cerita atau mendapatkan nasihat arwah yang tidak pernah menolak jika mereka mahu berkongsi masalah.

Jenazah arwah akan dikebumikan di tanah perkuburan berhampiran rumah mereka di Kampung Kuala Sanggang, di sini. - Bernama