HTAA jalankan pembedahan ECIRS pertama di Pantai Timur

HTAA menjadi hospital pertama di Pantai Timur yang berjaya melakukan pembedahan ECIRS bagi membuang batu karang kompleks.
HTAA menjadi hospital pertama di Pantai Timur yang berjaya melakukan pembedahan ECIRS bagi membuang batu karang kompleks.
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Urologi Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) menjadi hospital pertama di Pantai Timur yang berjaya menjalankan pembedahan ECIRS bagi membuang batu karang kompleks pada 3 Mei lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, empat pesakit yang mengalami batu karang pada buah pinggang dan ureter berjaya menjalani pembedahan tersebut.

"Mereka ialah dua pesakit wanita dan dua lagi lelaki berusia antara 35 ke 71 tahun. Mereka ini mengalami batu karang di buah pinggang dan ureter sudah berjaya menjalani pembedahan tersebut.

“Melalui keadah itu, dua pakar urologi boleh melakukan dua prosedur berbeza pada waktu yang sama ke atas pesakit iaitu Percutaneous Nephrolithoto (PCNL) dan ureteroscopy (URS) menjadikan masa pembedahan lebih pendek,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau memaklumkan pakar perunding Urologi dari Hospital Selayang, Dr Toh Charng Chee dijemput bagi membantu kejayaan pembedahan ECIRS ini di Pahang.

Tambahnya, pembedahan terbabit dijalankan oleh Dr Hamid Hj Ghazali dan Dr Syahril Anuar dan kedua-dua mereka ini masing-masing merupakan Pakar Perunding Urologi dan Pakar Urologi di HTAA.

"ECIRS adalah pilihan rawatan yang selamat dan berkesan untuk pesakit dengan batu karang yang kompleks dan mempunyai pelbagai kelebihan berbanding kaedah konvensional termasuk kadar jangkitan kuman yang lebih rendah.

"Pembedahan seperti ini telah berjaya menyediakan Pakar Urologi dan kakitangannya dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk melaksanakan prosedur ECIRS dengan selamat serta berkesan pada masa akan datang," katanya.

Dr Nor Azimi berharap lebih lagi pesakit boleh mendapat manfaat rawatan ini selari dengan kemajuan teknologi semasa.