Empat maut, 11 cedera nahas di LPT1

Keadaan treler yang terbabit kemalangan meragut empat nyawa di KM135.7 LPT1 di Temerloh pada awal pagi Sabtu. - Foto JBPM PAHANG
Keadaan treler yang terbabit kemalangan meragut empat nyawa di KM135.7 LPT1 di Temerloh pada awal pagi Sabtu. - Foto JBPM PAHANG
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Empat termasuk dua warga emas dan seorang kanak-kanak lelaki maut, manakala 11 lagi cedera dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di Kilometer 135.7 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) di Temerloh pada awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusoff berkata, kemalangan yang dilaporkan pada jam 3.10 pagi itu melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), kereta, treler dan trak tunda.

Menurutnya, mangsa yang maut terdiri daripada tiga penumpang MPV jenis Proton Exora dan seorang pemandu trak tunda berusia antara 12 hingga 75 tahun.

"Berdasarkan siasatan awal, kemalangan berlaku ketika kereta jenis Proton Waja dan trak tunda syarikat konsesi lebuh raya berhenti di lorong kecemasan untuk membantu MPV yang mengalami kerosakan.

"Semasa sedang menaikkan MPV itu, sebuah treler membawa kontena dipercayai terbabas dan melanggar ketiga-tiga kenderaan tersebut," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Anggota bomba dari BBP Temerloh membawa naik mangsa yang terjatuh ke dalam gaung dalam kemalangan di KM135.7 LPT1 di Temerloh pada awal pagi Sabtu. - Foto JBPM PAHANG
Anggota bomba dari BBP Temerloh membawa naik mangsa yang terjatuh ke dalam gaung dalam kemalangan di KM135.7 LPT1 di Temerloh pada awal pagi Sabtu. - Foto JBPM PAHANG

Mohd Azhar berkata, akibat kejadian empat mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu treler difahamkan tidak mengalami kecederaan.

Artikel Berkaitan:

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh untuk proses bedah siasat dan mangsa yang cedera turut dihantar menerima rawatan di hospital sama.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Menurutnya, pemandu treler kini ditahan bagi membantu siasatan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan," katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, seramai 11 anggota termasuk dua pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Temerloh bersama jentera ke lokasi untuk operasi menyelamat.

"MPV itu terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 12 meter dan semua mangsa berjaya dinaikkan menggunakan tali serta alat menyelamat," katanya.