Kes tipu tanah Kejora: Polis sedang lengkap kertas siasatan

Sinar Harian pada Khamis melaporkan polis menahan tujuh BOD sebuah koperasi dan seorang pegawai pejabat tanah termasuk empat bergelar Datuk kerana dipercayai terlibat kes penipuan pindah milik tanah Kejora di Kluang. Gambar kecil: Kamarul Zaman
Sinar Harian pada Khamis melaporkan polis menahan tujuh BOD sebuah koperasi dan seorang pegawai pejabat tanah termasuk empat bergelar Datuk kerana dipercayai terlibat kes penipuan pindah milik tanah Kejora di Kluang. Gambar kecil: Kamarul Zaman
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis sedang melengkapkan kertas siasatan terhadap tujuh ahli lembaga pengarah (BOD) sebuah koperasi dan seorang pegawai pejabat tanah yang dipercayai terlibat dalam kes penipuan pindah milik tanah Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) di Kluang.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, siasatan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dan apabila sudah selesai kertas siasatan akan diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

"Polis di negeri ini memberi bantuan yang diperlukan seperti mencari dan menahan saksi selain mendapatkan dokumentasi diperlukan untuk siasatan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Pada Khamis, Kamarul Zaman dalam satu sidang akhbar khas berkata, lapan lelaki tempatan yang terbabit dengan kes itu berusia 46 hingga 75 tahun ditahan dalam Op Pekaka sekitar Johor, Kuala Lumpur dan Selangor pada Rabu.

Pihak polis katanya, mula menjalankan siasatan kes itu selepas menerima satu laporan polis pada Januari lalu daripada seorang penolong pegawai tanah sebuah agensi badan berkanun milik sebuah kementerian.

Ujar beliau, penolong pegawai tanah itu mendakwa tiga lot tanah berkeluasan lebih 1,699 hektar milik Kejora dipindah milik tanpa kebenaran.

Katanya, tanah bernilai pasaran lebih RM100 juta di daerah Kluang itu dipindah milik kepada sebuah syarikat persendirian tanpa pengetahuan dan kebenaran agensi berkenaan.

Setakat ini katanya, seramai 28 saksi terdiri daripada pengarah syarikat, setiausaha, peguam, pelikuidasi, pegawai Pejabat Tanah dan Galian negeri serta pegawai agensi badan berkanun sudah dipanggil memberi keterangan.

Artikel Berkaitan: