Datuk antara 8 ditahan terlibat kes penipuan tanah milik Kejora

Kamarul Zaman menunjukkan gambar suspek yang terlibat dalam penyelewengan pindah milik tanah Kejora di IPK Johor, Johor Bahru, pada Khamis.
Kamarul Zaman menunjukkan gambar suspek yang terlibat dalam penyelewengan pindah milik tanah Kejora di IPK Johor, Johor Bahru, pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menahan tujuh ahli lembaga pengarah (BOD) sebuah koperasi dan seorang pegawai pejabat tanah termasuk empat bergelar Datuk kerana dipercayai terlibat kes penipuan pindah milik tanah Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) di Kluang.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, semua suspek yang ditahan dalam Op Pekaka itu merupakan lelaki tempatan berusia 46 hingga 75 tahun.

"Ada antara mereka yang ditahan adalah Ahli Lembaga Pengarah koperasi tersebut dan seorang pegawai pejabat tanah yang bertanggungjawab ketika transaksi pindah milik dilakukan.

"Mereka ditahan antara jam 3 petang hingga 8 malam semalam (Rabu) ketika hadir memberi keterangan kepada polis masing-masing di Johor, Kuala Lumpur dan Selangor," katanya dalam sidang akhbar di IPK Johor di sini pada Khamis.

Kamarul Zaman berkata, pihak polis mula menjalankan siasatan kes itu selepas menerima satu laporan polis pada Januari lalu daripada seorang penolong pegawai tanah sebuah agensi badan berkanun milik sebuah kementerian yang mendakwa tiga lot tanah berkeluasan lebih 1,699 hektar milik Kejora dipindah milik tanpa kebenaran.

Katanya, tanah bernilai pasaran lebih RM100 juta di daerah Kluang itu dipindah milik kepada sebuah syarikat persendirian tanpa pengetahuan dan kebenaran agensi berkenaan.

"Tiga lot tanah yang terbabit dalam kes ini adalah tanah yang dianugerahkan kerajaan negeri kepada Kejora pada 1987 dengan nilai RM1.47 juta," katanya.

Tanah itu ujar beliau, kemudian dipajak kepada sebuah koperasi pada 1994 dan koperasi tersebut kini sudah dibubarkan.

Artikel Berkaitan:

"Kita percaya dalam tempoh pembubaran itu, berlakunya perkara yang menyebabkan tanah dipindah milik kepada individu lain dengan nilai melebihi RM100 juta," katanya.

Urusan pindah milik itu katanya, hanya dikesan berlaku pada pertengahan tahun lalu dan semakan mendapati tanah itu kini diusahakan sebagai ladang kelapa sawit.

Menurut beliau, sepanjang tempoh siasatan dijalankan, seramai 28 saksi terdiri daripada pengarah syarikat, setiausaha, peguam, pelikuidasi, pegawai Pejabat Tanah dan Galian negeri serta pegawai agensi badan berkanun turut dipanggil memberi keterangan.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Bagaimanapun, Kamarul Zaman berkata, semua suspek diberikan jaminan polis selama sebulan sementara pihaknya menyiapkan kertas siasatan dan kemudian menunggu arahan selanjutnya dari pejabat Timbalan Pendakwa Raya.