Air sungai pernah bertukar jadi 'darah'

Keadaan Sungai Rui yang agak keruh dan dipercayai tercemar dengan sisa selut dan bahan kimia oleh penduduk setempat. Gambar kecil: Lim Leng
Keadaan Sungai Rui yang agak keruh dan dipercayai tercemar dengan sisa selut dan bahan kimia oleh penduduk setempat. Gambar kecil: Lim Leng
A
A
A
GERIK - Penduduk Kampung Baharu Kuala Rui, di sini mendakwa air dan tanah tebing Sungai Rui pernah bertukar warna menjadi merah seakan darah dipercayai tercemar akibat aktiviti perlombongan bijih timah sejak lebih 30 tahun lalu.

Justeru, lebih 150 penduduk kampung menggesa kerajaan negeri melaksanakan kerja pembersihan Sungai Rui yang menyusuri kawasan belakang kampung mereka dengan segera setelah sungai itu dipercayai tercemar dengan bahan kimia.

Wakil penduduk, Yong Lim Leng, 66, berkata, gesaan itu dibuat penduduk susulan Sungai Rui dipercayai tercemar dengan bahan kimia dan longgokan selut berpunca daripada aktiviti perlombongan bijih timah dijalankan di bahagian hulu sungai itu.

Menurutnya, keadaan air dan tanah tebing Sungai Rui bertukar warna darah sekali lagi berulang pada tiga minggu lalu, dipercayai akibat cuaca panas yang menyebabkan sisa perlombongan bercampur bahan kimia termendap di dasar sungai.

"Masalah ini sebenarnya dihadapi bukan sahaja penduduk kampung ini, bahkan penduduk beberapa kampung berhampiran sejak lebih 30 tahun lalu apabila terdapat aktiviti perlombongan bijih timah dijalankan di situ.

"Kesan pertukaran warna air sungai daripada keruh kepada 'darah' menyebabkan penduduk kampung langsung tidak berani mengadakan sebarang aktiviti di sungai berkenaan susulan bimbang dengan keselamatan diri," katanya sewaktu ditemui Sinar Harian di Kampung Baharu Kuala Rui, di sini hari ini.

Lim Leng berkata, susulan masalah pencemaran Sungai Rui berterusan tidak selesai sejak puluhan tahun lalu, pihaknya dimaklumkan beberapa penduduk di kampung berhampiran ada mengalami masalah penyakit kulit.

Menurutnya, Sungai Rui juga sudah tidak lagi menjadi lokasi tangkapan ikan oleh nelayan darat susulan keadaan air sungai tercemar turut dipercayai mengakibatkan kematian hidupan air di dalamnya.

"Bahkan sekitar 15 tahun lalu, terdapat lebih 60 ekar tanah di pinggir Sungai Rui yang diusahakan tanaman limau madu oleh petani kampung ini juga musnah dipercayai berpunca penggunaan air sungai itu untuk bekalan air.
Artikel Berkaitan:


"Lebih membimbangkan, kawasan pinggir Sungai Rui yang terletak di belakang kampung kami kini semakin terhakis akibat kewujudan lengkok sungai dan kami risau air sungai dipercayai tercemar itu akan melimpah masuk ke dalam rumah penduduk kampung kami suatu hari nanti," katanya.

Lim Leng berkata, pihaknya sudah mengemukakan permohonan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) daerah Gerik supaya anak Sungai Rui terletak di belakang kampungnya dicuci pada awal tahun ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan sehingga kini permohonan itu belum dilaksanakan gara-gara kekangan peruntukan dihadapi agensi kerajaan itu.

"Memandangkan masalah pencemaran air Sungai Rui turut dibangkitkan sendiri Exco Kerajaan Negeri hari ini, saya berharap kerajaan negeri dan pusat memandang serius permohonan itu kerana kami tidak mahu Sungai Rui menjadi Sungai Kim Kim kedua.

"Pada masa sama, kami berharap kerajaan negeri mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana syarikat operator aktiviti perlombongan yang menjalankan aktiviti tidak mengikut spesifikasi ditetapkan Jabatan Alam Sekitar(JAS) dan sebagainya," katanya.

KETERANGAH GAMBAR:

1) Keadaan Sungai Rui yang agak keruh dan dipercayai tercemar dengan sisa selut dan bahan kimia oleh penduduk setempat.

2) Lim Leng

3) Lim Leng menunjukkan keadaan Sungai Rui yang mengalir di belakang Kampung Baharu Kuala Rui, Gerik berkeadaan sangat keruh dan membimbangkan penduduk.