Serangan penyakit hawar terkawal

Laporan Sinar Harian pada 16 Ogos 2022.
Laporan Sinar Harian pada 16 Ogos 2022.
A
A
A

ALOR SETAR – Penyakit jenis hawar bulir bakteria atau Bacterial Panicle Blight (BPB) di kawasan penanaman padi di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di kawasan Muda berada dalam keadaan terkawal.

Cawangan Komunikasi Korporat MADA menjelaskan, BPB merupakan salah satu penyakit tanaman padi yang berlaku disebabkan bakteria Burkholderia glumae dan Burkhloderia gladioli.

Menurutnya, serangan penyakit ini berkait rapat dengan cuaca panas dan kering terutamanya apabila suhu malam adalah tinggi berpanjangan.

“Secara keseluruhan, kawasan penanaman padi di kawasan Muda adalah seluas 96,558 hektar meliputi 77,882 hektar kawasan tanaman di Kedah dan 18,676 hektar lagi di Perlis.

“Di kawasan Muda, simptom penyakit ini mula dikesan pada musim 1/2017 sehingga musim 1/2022 dengan keluasan serangan penyakit ini di kawasan Muda di bawah 0.15 dan ia masih dalam keadaan terkawal,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Tambah beliau, MADA telah merekodkan data serangan perosak dan penyakit padi di dalam sistem yang dikenali sebagai GIS SMP.

“Berdasarkan laporan dikeluarkan oleh sistem ini sehingga 17 Ogos 2022,seluas 26.41 hektar serangan BPB telah direkodkan iaitu 0.026 peratus daripada keluasan MADA,”katanya.

Menurutnya, ia melibatkan 7.70 hektar serangan penyakit di kawasan Wilayah I Perlis, 5.29 hektar di Wilayah II Jitra, 3.55 hektar di Wilayah III Pendang, manakala seluas 9.87 hektar di Wilayah IV Kota Sarang Semut.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, MADA telah melaksanakan beberapa tindakan bagi mengurangkan risiko serangan dan kemerebakan BPB terhadap tanaman padi seperti kempen pengembangan, pemantauan melalui program pengawasan dan ramalan perosak (PNR).

“Antara tindakan lain dilakukan adalah melalui hebahan melalui kaedah Alert and Awareness, program kawalan merebak melalui edaran racun demonstrasi dan kerjasama strategik bersama jabatan dan agensi yang terlibat dalam tanaman padi,” katanya.

Beliau berkata, MADA sentiasa proaktif dalam melaksanakan program-program pembangunan tanaman padi bagi memastikan para peladang di kawasan Muda dapat meningkatkan hasil dan pendapatan.

“Ia sejajar dengan matlamat MADA iaitu melebihkan hasil untuk keperluan negara dan meningkatkan kesejahteraan sebilangan besar peladang di kawasan Muda,” katanya.

MADA turut menasihatkan peladang untuk melakukan pemantauan ladang dengan lebih kerap dan teliti supaya tindakan kawalan yang bersesuaian dapat dilakukan dengan segera dan efektif.

Dalam perkembangan sama, katanya, peladang di bawah MADA di kawasan Muda turut digalakkan untuk menghubungi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) berdekatan sekiranya terdapat pertanyaan berhubung kait tentang maklumat pengurusan perosak.

Mada memberi jaminan sentiasa bersedia membantu para peladang bagi menjayakan aktiviti penanaman padi di kawasan Muda.

Pada 16 Ogos lepas, Sinar Harian melaporkan Kira-kira 300 pesawah di bawah MADA di sekitar daerah Yan mengalami kerugian sehingga RM1.5 juta selepas 500 hektar tanaman mereka diserang penyakit jenis hawar bulir bakteria.

Ahli jawatankuasa Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah), Abd Rashid Yob berkata, penyakit tersebut menyebabkan biji padi menjadi hampa dan seterusnya mengurangkan berat timbangan padi yang dituai.

Menurutnya, kerugian besar yang dialami oleh pesawah telah menyebabkan mereka berdepan masalah kerana rata-rata pesawah perlu mencari modal lain untuk digunakan bagi tujuan penanaman padi musim seterusnya.