Alor Setar Bandaraya Berdaya Huni

A
A
A

MBAS akan terus berusaha mentransformasi bandaraya Alor Setar menjadi Bandaraya Berdaya Huni Tahap Tertinggi.
MBAS akan terus berusaha mentransformasi bandaraya Alor Setar menjadi Bandaraya Berdaya Huni Tahap Tertinggi.

Bandaraya Alor Setar merupakan ibu negeri tertua di Malaysia yang dibuka pada tahun 1735 oleh Sultan Kedah ke-19, Sultan Muhammad Jiwa Sultan Zainal Adilin Mu’adzam Shah II.

Ibu negeri Kedah, Alor Setar telah diisytiharkan sebagai sebuah bandaraya pada 28 November 2003 dan kini ditadbir di bawah Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS). MBAS bertanggungjawab memberi perkhidmatan kepada semua lapisan masyarakat di kawasan pentadbirannya serta membina kehidupan yang lestari.

Ikuti wawancara eksklusif wartawan Sinar Harian, NURUL HIDAYAH HAMID bersama Datuk Bandar Alor Setar, DATUK MOHD YUSRI MD DAUD di pejabatnya baru-baru ini.

SINAR HARIAN: Boleh Datuk jelaskan latar belakang Bandaraya Alor Setar ?

MOHD YUSRI: Sebagai sebuah Pihak Berkuasa Tempatan, MBAS mentadbir urus dua buah daerah iaitu Kota Setar dan Pokok Sena. Keluasan kawasan pentadbirannya 66,600 hektar dengan keluasan kawasan perkhidmatan 20,954.583 hektar, manakala 22,292.45 hektar merupakan kawasan pembangunan.

Terdapat tiga buah bandar utama dalam kawasan MBAS, iaitu Alor Setar, Kuala Kedah dan Pokok Sena. Alor Setar merupakan ibu negeri Kedah yang memiliki pelbagai keistimewaan. Ia merupakan antara bandar tertua bukan sahaja di Malaysia malah di dunia di buka pada tahun 1735.

Selain itu, bandaraya ini mempunyai lanskap perbandaran yang unik dan menarik kerana dikelilingi sawah padi. Malah Sungai Kedah yang merupakan antara sungai yang penting di negeri ini mengalir melalui Bandaraya Alor Setar di mana Sungai Anak Bukit turut mengalir memasukinya. Selain itu terdapat Gunung Keriang yang merupakan sebuah geotapak yang sangat berpotensi untuk dimajukan.

SINAR HARIAN: Apakah yang dimaksudkan dengan menjadikan Alor Setar sebagai Bandaraya Berdaya Huni ?

MOHD YUSRI: Bandaraya Berdaya Huni adalah bandar raya yang menyediakan kehidupan berkualiti kepada masyarakat huninya dari aspek pembangunan fizikal, ekonomi, sosial dan psikologi.

Antaranya kemudahan bekalan air, makanan, perumahan, pekerjaan, pengangkutan, kesihatan, pendidikan, keselamatan dan juga dari segi kesejahteraan emosi dan persepsi. Dalam erti kata lain, memastikan komuniti bandaraya ini sentiasa dalam keadaan sejahtera. Sebenarnya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) banyak terlibat dengan pelbagai perkara yang berkaitan daya kehidupan masyakat.

Mohd Yusri berazam mentransformasikan Bandaraya Alor Setar menjadi Bandaraya Berdaya Huni, yang tampak lebih bersih, kemas dan menarik.
Mohd Yusri berazam mentransformasikan Bandaraya Alor Setar menjadi Bandaraya Berdaya Huni, yang tampak lebih bersih, kemas dan menarik.

Justeru itu, MBAS perlu melihat pelbagai aspek kehidupan termasuk pembangunan fizikal dan sosial. Bagaimanapun, bagi Bandaraya Berdaya Huni ini, ianya bukan tentang pengurusan pentadbiran MBAS semata-mata, tetapi turut melibatkan kerjasama masyarakat yang menghuni dalam kawasan MBAS. Pihak MBAS akan terus berusaha mentransformasi bandaraya ini menjadi Bandaraya Berdaya Huni Tahap Tertinggi.

SINAR HARIAN: Apakah teras pembangunan digariskan MBAS untuk memastikan Bandaraya Alor Setar menjadi Bandaraya Berdaya Huni ?

MOHD YUSRI: Beberapa teras pembangunan telah digariskan ke arah Bandaraya Berdaya Huni ini. Sebagai kawasan ekonomi yang semakin berkembang, aspek guna tanah serta penggunaan sumber yang berkesan perlu diberi penekanan. Ianya melibatkan aspek-aspek berkaitan hierarki pusat perniagaan, perluasan kawasan perniagaan, rehabilitasi bangunan-bangunan perniagaan yang baru, membaik pulih bangunanbangunan yang usang dan terbiar, mewujudkan pembangunan bercampur di samping menyediakan kawasan atau kluster perindustrian.

Antara kawasan yang menjadi tumpuan adalah seperti Pokok Sena, Simpang Kuala, Simpang Empat Kangkong dan juga kawasan Bukit Pinang. Malah pembangunan berorientasikan transit (TOD) turut diberi keutamaan sepertimana yang telah digariskan dalam cadangan pembangunan Alor Setar Sentral. Selain daripada itu, persekitaran yang mampan, sejahtera dan selamat akan terus diberi keutamaan. Perlaksanaan projek-projek pembangunan dengan mengaplikasikan teknologi hijau amat digalakkan bagi mencapai bandaraya rendah karbon.

Selain itu, MBAS terus berusaha melaksanakan peningkatan elemen bandar selamat. Untuk menjadi kawasan berdaya tahan, Projek Tebatan Banjir Sungai Kedah dan Sungai Anak Bukit (Pakej 2) dilaksanakan di samping pembinaan lencongan Sungai Baru yang dijangka siap pada September 2024 di bawah seliaan pihak JPS.

Di samping itu, sistem bekalan air bersih dinaiktaraf. Bagi menjadi sebuah bandaraya pintar, MBAS telah menyediakan ‘blue print smart city’ dan mula menggalakkan masyarakat menggunakan perkhidmatan tanpa tunai seperti semasa urusan jual beli dan Flexi Parking umpamanya. Malah mulai Julai 2023, bil cukai taksiran MBAS tidak akan dipos lagi kepada pembayar cukai dan ianya akan dihantar melalui e-mel atau aplikasi WhatsApp yang berdaftar.

Pihak MBAS akan terus menyokong dan membantu penyediaan infrastruktur asas dan sistem utiliti yang komprehensif seperti rangkaian jalanraya yang efisien, menaiktaraf sistem saliran dan perparitan serta sistem pembentungan.

Antara projek-projek yang sedang dalam pembinaan di bawah seliaan JKR adalah seperti: (a) Menaiktaraf Jalan Suka Menanti (K137), Kota Setar; (b) Menaiktaraf jambatan di perkampungan Taman Kota Nelayan, Kuala Kedah; (c) Menaiktaraf Laluan 7 dari Persimpangan Tiga Kemboja; (d) Menggantikan jambatan sedia ada di FT007/1/30 Kota Setar (Jambatan Manjalara).

Projek tadahan pembentungan Kota Setar di bawah JPP yang hampir siap akan meliputi 7 sub tadahan utama di kawasan Derga, Kota Setar, Alor Malai, Hutan Kampung, Simpang Kuala, Pengkalan Kundor dan Tandop.

SINAR HARIAN: Apakah perkara lain yang turut dititikberatkan untuk mentransformasi Bandaraya Alor Setar ini ?

MOHD YUSRI: Apabila melibatkan masyarakat, maka beberapa perkara perlu diberi penekanan, iaitu kesejahteraan komuniti dan juga kualiti persekitaran. Selain daripada itu, faktor ekonomi dan pelancongan perlu juga diutamakan. Segala bentuk pembangunan perlu selari dengan kesejahteraan penduduk yang tinggal di kawasan yang berkenaan.

Melalui program Kejiranan Hijau atau lebih dikenali dengan Kebun Komuniti umpamanya dapat mengujudkan semangat bergotong-royong di kalangan komuniti setempat. Antaranya di Taman Mutiara dan Taman Koperasi di Alor Setar. Bagi menjamin kualiti persekitaran, MBAS akan terus memastikan pengurusan alam sekitar lebih tersusun. MBAS sentiasa bekerjasama dengan SWCorp dan E-Idaman bagi menguruskan kebersihan dan sisa pepejal. Pusat Kitar Semula pandu lalu (drive thru recycle centre) di bawah kelolaan E-Idaman bersebelahan Pasar Besar Peremba banyak membantu membuat kutipan barangan kitar semula dan pengurangan kadar pelepasan gas karbon dioksida.

Secara tidak langsung, usaha ini mampu mengelakkan masalah penyakit berkaitan kebersihan. ‘Urban Safety’ itu penting kerana sekiranya masyarakat tidak sihat, maka terjejaslah kerancakan bandaraya. Kebersihan merupakan antara agenda utama MBAS kerana ianya secara tidak langsung akan menarik lebih rami pelancong ke sini dan ianya akan merancakkan lagi perkembangan ekonomi. Saya yakin semua penghuni bandaraya ini mempunyai pemikiran yang positif dan rasa bertanggungjawab mengenai betapa pentingnya penjagaan kebersihan.

SINAR HARIAN: Bagaimana orang awam boleh mendapatkan maklumat tentang projek ataupun aktiviti terkini MBAS ?

MOHD YUSRI: Kami sentiasa menyalurkan informasi di Facebook Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS). Selain itu, MBAS turut melancarkan MBAS TV pada Mac lepas. Segala perkembangan atau aktiviti terkini akan dimuat naik dalam saluran MBAS TV melalui platform Facebook dan YouTube.