Mada jadi perintis tanaman padi lima musim

Mohamad (tengah) mendengar taklimat semasa mengadakan lawatan dan tinjauan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, Kota Bharu pada Ahad.
Mohamad (tengah) mendengar taklimat semasa mengadakan lawatan dan tinjauan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, Kota Bharu pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan sedia menjadikan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) sebagai perintis kepada tanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, bagi merealisasikan hasrat itu kerajaan sedia menaik taraf sistem saliran untuk memastikan bekalan air ke sawah dapat dilakukan dengan sempurna.

"Untuk permulaan, kita sasarkan 30,000 daripada 100,000 hektar kawasan tanaman padi di Mada," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan dan tinjauan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, di sini pada Ahad.

Menurut beliau, pihaknya menjangkakan projek tersebut akan bermula pada akhir tahun nanti.

Ujarnya, penggunaan teknologi baharu dan benih-benih padi menggunakan varieti baharu yang telah diuji dipelbagai tempat akan turut digunakan.

Mohamad memberitahu, teknologi itu mampu meningkatkan pengeluaran hasil padi negara pada masa hadapan.

"Kita menggalakkan petani mengusahakan padi dalam skala yang lebih besar dengan menjadikan Sekinchan, Selangor menjadi contoh dan ikutan.

"Hal ini kerana hasil padi yang paling tinggi di Malaysia adalah di sana. Mereka dapat antara tujuh hingga 12 tan hasil untuk satu hektar. Kalau musim merosot mereka masih mampu memperoleh tujuh tan hasil," ujarnya.