Pemimpin lompat parti tidak ketara di Terengganu

Satiful Bahri
Satiful Bahri
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu masih belum berbincang mengenai keperluan melakukan pindaan bagi membolehkan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti turut dikuatkuasakan ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Exco Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Terengganu, Satiful Bahri Mamat berkata, isu berkenaan dilihat tidak begitu ketara dan tidak berbangkit di negeri itu.

Katanya, ia berikutan lapan kerusi Parlimen dan 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu hanya didominasi dua parti iaitu Pas dan UMNO.

"Isu ini melibatkan pusat. Isu berkaitan lompat parti di peringkat negeri Terengganu ini kita lihat tidak begitu berbangkit dan perkara ini belum lagi dibincangkan di dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, " katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Terengganu Contact Centre (TECC) dan Pelancaran #6006000 di Wisma Darul Iman di sini pada Rabu.

Satiful bagaimanapun berkata, kerajaan negeri akan melihat perkembangan RUU Anti Lompat Parti sama ada ia turut berkuat kuasa di peringkat negeri.

"Kita akan lihat juga untuk tempoh masa akan datang sebab kadang-kadang berlaku penyelarasan untuk negeri-negeri. Setakat ini belum ada apa-apa maklumat lagi.

"Kita bersedia dengan sebarang keputusan," katanya.

Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat lompat parti diluluskan dengan undi majoriti dua pertiga ahli dewan pada 28 Julai lalu.