Amanah gesa resolusi negara Arab-Islam

Raja Kamarul Bahrin Shah
Raja Kamarul Bahrin Shah
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Amanah menggesa agar satu resolusi dibuat untuk negara Arab-Islam berdamai dan bersatu menghadapi musuh sebenar bersama iaitu Amerika Syarikat (AS) dan Israel.

Ia susulan pengiktirafan Golan Heights sebagai wilayah Israel oleh Amerika Syarikat yang secara jelas bertentangan dengan ketetapan antarabangsa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah dan OIC.

Pengerusi Biro Antarabangsa Amanah, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang mengutuk sekeras-kerasnya tindakan itu berkata, resolusi perpaduan OIC bagi menghadapi Israel sepatutnya menjadi prioriti negara Arab-Islam untuk membela kaum dan agama mereka sendiri yang telah lama dipengaruhi oleh AS dan Israel.

“Apa yang amat mengecewakan adalah reaksi hambar dari dua jiran besar terdekat Palestin iaitu Mesir dan Arab Saudi. Arab Saudi yang rapat dengan AS, mulai berjinak dengan Israel, tidak lagi begitu lantang mengecam tindakan zalim ke atas Palestin seperti dahulu kala.

“PBB tidak mengiktiraf mana-mana kawasan yang ditakluk melalui peperangan atau ketenteraan seperti pergunungan Golan yang dimiliki Syria. Mengapa Arab Saudi tidak lantang dalam isu ini ?

“Begitu juga Mesir, yang wilayah Sinainya pernah dijajah oleh Israel melalui peperangan tetapi kerana usaha antarabangsa, ia telah berjaya mendapatkannya kembali. Mesir kini makin bergantung kepada bantuan kewangan AS dan Arab Saudi dan dalam masa yang sama sudah berjinak dengan Israel. Lidah Mesir makin kelu berhadapan dengan AS dan Israel,” katanya.

Jelas Raja Bahrin, tindakan Presiden AS, Donald Trump yang membuat pengumuman tersebut menjelang pilihan raya Israel dilihat hanya untuk membantu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Katanya, AS dan Israel sebenarnya bukan lagi berpengaruh dan berkuasa di peringkat antarabangsa seperti dahulu lagi.

Artikel Berkaitan:

“Hakikat sebenarnya negara-negara Arab Islam, seperti Arab Saudi, Mesir dan Syria makin lemah kerana masalah perbalahan sesama negara Arab dan Islam akibat daripada hasutan AS dan Israel.

“Tiada gunanya OIC meluluskan resolusi demi resolusi yang tidak bertaring mengutuk AS atau Israel kalau mereka sentiasa bersengketa sesama sendiri. Kita umat Islam semuanya bersaudara dan kita perlu bersatu kita dan teguh menghadapi segala ancaman,” katanya.