Amanah Saham Rahmah perjuang keadilan sosial untuk miskin tegar

KPDN sedang mengkaji untuk mewujudkan Amanah Saham Rahmah bagi membantu keluarga miskin tegar di negara ini. - Foto Bernama
KPDN sedang mengkaji untuk mewujudkan Amanah Saham Rahmah bagi membantu keluarga miskin tegar di negara ini. - Foto Bernama
A
A
A

GEORGE TOWN - Amanah Saham Rahmah, yang kini sedang dikaji dan diperhalusi pelaksanaannya oleh kerajaan, dilihat dapat membantu memperjuangkan keadilan sosial untuk keluarga miskin tegar di negara ini.

Seorang ibu tunggal menetap di Kuala Juru, Butterworth, Umi Kalsum Ree, 61, berdepan cabaran apabila sukar mencari pendapatan kerana perlu menjaga ibu, anak perempuan dan adik bongsunya yang ketiga-tiganya merupakan orang kurang upaya (OKU) dan terlantar.

Beliau berkata, kehidupan mereka sekeluarga sangat bergantung kepada bantuan Zakat Pulau Pinang (ZPP) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta ihsan orang ramai yang mengetahui tentang nasib mereka menerusi laporan media.

"Kesihatan ibu saya Romlah Saad, 84, menjadi teruk selepas terkena strok, manakala anak perempuan saya Norjan Ahmad, 38, dan adik bongsu Ainul Nadiah Ree, 39, masing-masing menghidap Cerebral Palsy (CP).

"Saya berharap inisiatif Amanah Saham Rahmah ini berjaya dilaksanakan dan boleh memberi saluran bantuan kewangan baharu untuk kami kerana kami sangat memerlukannya," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, penjawat awam, Nor Amin Hassan, 36, berkata, inisiatif tersebut akan membawa kebaikan kepada golongan miskin tegar, namun semua pihak perlu bekerjasama untuk membela nasib mereka.

Beliau berkata, pada masa ini terdapat banyak bantuan kebajikan yang bertujuan memberi manfaat kepada kumpulan itu, tetapi ada yang tidak menerimanya atau mereka tidak tahu kewujudannya.

"Kadang-kadang maklumat berhubung bantuan itu tidak sampai kerana tidak semua orang menonton televisyen dan tidak semua mempunyai telefon pintar serta akses kepada Internet, terutama mereka yang miskin tegar, maka semua pihak seperti jawatankuasa kampung dan mereka di peringkat akar umbi perlu aktif dalam mengenal pasti golongan ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh dilapor berkata, pihak kementerian sedang mengkaji untuk mewujudkan Amanah Saham Rahmah bagi membantu keluarga miskin tegar di negara ini, sekali gus memberi pendapatan berterusan kepada golongan berkenaan.

Beliau berkata, menerusi skim amanah itu sejumlah wang akan dilaburkan oleh kerajaan di bawah syarikat tertentu dan dividen daripada pelaburan itu akan diberikan kepada keluarga yang memerlukan, manakala wang pokok dilaburkan itu tetap milik kerajaan. - Bernama