Gesa tubuh RCI siasat punca tragedi kepala air di Baling

Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim
Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim
A
A
A

BALING - Ahli Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim bersetuju siasatan diadakan termasuk mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat punca kejadian kepala air sehingga mengorbankan tiga nyawa di Kampung Iboi, Mukim Kupang pada Isnin.

Menurutnya, semua pihak termasuk penduduk di Baling juga mahu mengetahui punca sebenar tragedi itu sehingga meragut nyawa penduduk dan memusnahkan hampir 15 buah rumah.

"Saya mengalu-alukan apa jua siasatan malah RCI pun saya setuju untuk dilakukan. Yang pastinya kita nak tahu, rakyat nak tahu, rakyat tekan saya, rakyat nak tahu apakah kesudahan. Bukan nak cari salah siapa.

"Rakyat saya dah meninggal dunia. Tak nak benda ini berpanjangan. Saya tahu atas sana tiga lagi tadahan air besar macam padang bola.

"Kalau jadi apa-apa lagi takkan saya nak tunggu rakyat saya mati 20 orang lagi. Saya dah cakap dah dalam Parlimen lapan bulan lalu," katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai semasa mengiringi Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan badan bukan kerajaan (NGO) Sahabat Alam Malaysia (SAM) agar Kerajaan Kedah mengadakan Suruhanjaya Siasatan Awam bagi mengenal pasti punca tragedi banjir di Baling.

Presiden SAM, Meenakshi Raman dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, siasatan itu perlu bagi memastikan punca sebenar apa yang berlaku di negeri itu, selain mengenal pasti langkah dan jurang yang perlu ditangani dengan segera.

Mengulas lanjut, Abdul Azeez berkata, beliau tidak mahu menuduh atau menuding jari kepada mana-mana pihak sebelum mendapat keputusan siasatan.

"Saya amat setuju dengan apa yang disarankan oleh NGO tersebut. Buatlah satu suruhanjaya siasatan di bawah kementerian mana-mana dengan kajian telus apa puncanya.

"Kalau saya tengok video-video orang kampung waktu kejadian ternyata ini bukan kejadian banjir air hujan. Itu saja saya boleh bagi tahu," ujarnya.