55 mangsa banjir diselamatkan di Baling

Keadaan banjir di beberapa kawasan di Baling pada Isnin.
Keadaan banjir di beberapa kawasan di Baling pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah berjaya menyelamatkan 55 mangsa banjir selepas kediaman mereka dilanda banjir kilat akibat hujan lebat selama tiga jam pada Isnin.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, kesemua mangsa terlibat dipindahkan selepas bomba menerima panggilan tentang kejadian banjir melibatkan beberapa kampung di Baling kira-kira jam 5.31 petang.

Beliau memaklumkan, operasi pemindahan mangsa banjir di daerah tersebut sedang dilakukan oleh Pasukan Keluaran Operasi.

"Setakat ini, kira-kira 11 kampung yang terletak berdekatan dengan Sungai Kupang didapati terjejas termasuklah Kampung Bendang Padang, Kampung Iboi, Kampung Padang Ampang, Kampung Tok Saba dan Kampung Hangus.

"Selain itu, Kampung Pisang, Kampung Sadik, Kampung Kitang, Kampung Tanjung, Kampung Lata Celak dan Kampung Badak Ampang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata, antara lain, bantuan lori dan bot telah digerakkan dari JBPM Perak ke lokasi kejadian termasuklah jentera pemadam (FRT), Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan bot dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Hulu.

Tambah beliau, BBP Gerik, BBP Lenggong dan BBP turut menggerakkan lori dan bot bagi memberi bantuan.