Kehilangan Ashraf: Polis buka kertas siasatan

Razarudin bercakap kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-12 Persatuan Veteran Vat 69 Komando, hari ini.
Razarudin bercakap kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-12 Persatuan Veteran Vat 69 Komando, hari ini.
A
A
A

TAMBUN – Polis membuka kertas siasatan dibawah orang hilang bagi kes seorang peserta Gopeng Ultra Trail, Mohammad Ashraf Hassan, 29, yang sehingga kini masih gagal dikesan sejak hilang, 23 Mac lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, siasatan awal dijalankan tidak menemui sebarang unsur kekasaran yang dapat dikaitkan dengan kehilangan mangsa.

“Kita telah melakukan carian di semua tempat dan mendapati laluan yang digunakan adalah satu trek yang cantik, jadi kita tak nampak yang mangsa kemungkinan boleh jatuh (cerun bukit).

“Siasatan juga tidak menemui sebarang 'foul play' kerana kejohanan sukan ini sudah masuk tahun ketiga dan belum pernah lagi jadi kes seperti ini, cumanya penyertaan kali ini agak ramai,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-12 Persatuan Veteran Vat 69 Komando di Kem Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, hari ini.

Menurutnya, polis dimaklumkan bahawa pihak penganjur akan menjalankan siasatan sendiri bagi mengenal pasti punca kejadian itu. “Jadi kita akan minta penganjur untuk kemukakan laporan mereka nanti,” katanya.

Mengulas mengenai operasi menyelamat (Op SAR) yang dihentikan, semalam beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) berpuas hati dengan operasi pencarian yang dilakukan di kawasan itu, sejak 24 Mac lalu.

Bagaimanapun katanya, operasi pada skala kecil tetap diteruskan di lokasi kejadian yang disertai polis tempatan dengan kerjasama bomba dan penduduk kampung.

“Tidak bermakna kita hentikan terus, masih terdapat pasukan yang meneruskan operasi mencari, tetapi dalam skala yang kecil dan mereka masih ulang pergi ke lokasi sama.

Artikel Berkaitan:

“Sekiranya terdapat apa-apa maklumat tertentu, kita akan mulakan semula pencarian,” katanya.

Sepanjang tujuh hari Op SAR digerakkan, lebih 800 orang daripada 14 agensi dan orang awam terlibat meliputi 16 lokasi darat seluas 35km persegi dan lokasi air sepanjang 30km.

Mohammad Ashraf yang bertugas sebagai juruteknologi makmal perubatan di Pejabat Kesihatan Muar, Johor disedari hilang selepas mangsa tidak tiba di garisan penamat meski pun berada pada kedudukan 10 peserta teratas bagi kategori 25km.