Isu 3R: 23 kertas siasatan dibuka - KPN

Acryl Sani
Acryl Sani
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kes melibatkan penghinaan terhadap agama, kaum dan institusi diraja (3R).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pasukan itu dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian D5 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

"Kita memandang serius kes berkaitan 3R yang tular di media sosial, kita perlu memastikan bahawa hantaran mengenai isu 3R perlu dihindari setiap masa.

"Pasukan siasatan khas itu akan mengambil tindakan pantas untuk menyiasat apabila terkesan hantaran berkaitan isu 3R," katanya pada sidang akhbar selepas meghadiri majlis Hi -Tea bersama pengamal media di Bukit Aman, di sini, pada Khamis.

Acryl Sani berkata, sebanyak 23 kertas siasatan melibatkan kes 3R dibuka sejak 22 Mac lalu hingga 17 Mei dengan 11 daripadanya berkaitan penghinaan terhadap institusi diraja, empat membabitkan agama dan lima berbaur elemen perkauman.

"Tiga kes telah berjaya didakwa di mahkamah dan 18 kes masih disiasat, kita mengambil tindakan sewajarnya untuk memastikan keharmonian masyarakat di negara ini sentiasa terperlihara," katanya.

Ketika ditanya sama ada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang akan dipanggil polis berhubung kes 3R, Acryl Sani berkata, sesiapa yang terlibat akan dipanggil untuk proses melengkapkan siasatan.

“Itu merupakan prosedur operasi standard (SOP),” katanya.