KPM diminta perinci pelaksanaan PBS kepada guru

Mohd Azizee
Mohd Azizee
A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Pemansuhan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) wajar dan signifikan mengambil kira perubahan di dalam sistem pendidikan negara dan global namun terdapat beberapa persoalan yang perlu diperjelaskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kepada warga pendidik.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd Azizee Hasan berkata, hasrat KPM melihat kemenjadian murid secara holistik serta selari dengan matlamat Falsafah Pendidikan Negara adalah dialu- alukan.

"Namun timbul beberapa persoalan. Sejauh mana pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) nanti, sebagaimana dipertegaskan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

"Dalam hal ini, pihak KPM perlu memberikan penjelasan yang jelas dan terperinci kepada semua warga pendidik sebab pemansuhan PT3 dan bagaimana melaksanakan PBS melalui Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) secara berkesan sebagai ganti pemansuhan tersebut," katanya dalam kenyataan, pada Isnin.

Mohd Azizee berkata, meskipun langkah pemansuhan itu dianggap bertepatan pada masanya, namun jika tidak difahami warga guru, ia akan menimbulkan isu dan masalah lain.

"Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) perlu kerap turun padang membimbing warga guru bagi memastikan pelaksanaan PBS dapat dijayakan dengan sebaiknya.

"Agenda PBS perlu dijadikan fokus di peringkat JPN dan PPD untuk melihat aspek pelaksanaan, penambahbaikan sistem dan intervensi program agar hasrat pentaksiran ini memenuhi keperluan yang sebenar," katanya.

Menurut Mohd Azizee, antara fokus penting kejayaan pelaksaan PBS ialah meningkatkan kualiti profesionalisme pengajaran guru melalui latihan dan bimbingan berterusan berkaitan PBS dan PBD daripada pihak PPD dan JPN.

"Selain itu mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) dengan mengambil kira kepelbagaian dan gaya belajar murid. Guru juga perlu meningkatkan kualiti pengajaran dan pentaksiran dengan penguasaan kemahiran teknologi dan pembelajaran digital," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pelaksanaan PBS tidak wajar dilihat menambah beban tugas guru dengan tugas- tugas berbentuk pengkeranian tetapi ia adalah satu mekanisme bersepadu untuk mengembang bakat dan potensi murid bagi mendepani cabaran.

"Ini adalah langkah strategik untuk menyiapkan generasi yang kompeten, berdaya saing serta memiliki kepelbagaian kecekapan berdepan apa jua situasi dan kondusi terutama di era Revolusi Industri 4.0 dan 'Volatility', 'Uncertainty', 'Complexity' dan 'Ambiguity' (VUCA)," katanya.