[VIDEO] PT3 dimansuhkan mulai tahun ini

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin ketika sidang media khas di Auditorium Kompleks E pada Khamis. - Foto Bernama
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin ketika sidang media khas di Auditorium Kompleks E pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dimansuhkan mulai tahun ini, kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Menurutnya, Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) akan diperkasakan bagi menilai tahap penguasaan murid.

"Ujian ini membabitkan murid Tahun Empat, Lima dan Enam sekolah rendah dan Tingkatan Satu, Dua serta Tiga bagi sekolah menengah," katanya.

Beliau berkata, pentaksiran tersebut merangkumi tiga komponen iaitu Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Pentaksiran Psikometrik (PPsi).

"PBD akan dijalankan menerusi dua kaedah pentaksiran iaitu formatif dan sumatif yang akan turut dilaksanakan Tahun Empat, Lima serta Enam sekolah rendah," katanya pada sidang akhbar khas di kementeriannya dekat sini pada Khamis.

Mohd Radzi berkata, pentadbir dan guru akan diperkasakan bagi memantapkan pelaksanaan pentaksiran formatif yang berterusan di sekolah.

"Masih banyak ruang untuk meningkatkan kemahiran guru bagi membantu mereka menjalankan pentaksiran secara komprehensif," katanya.

Beliau berkata, sebanyak lima mata pelajaran di peringkat sekolah rendah dan semua mata pelajaran di sekolah menengah rendah akan ditaksirkan melalui pentaksiran sumatif.

"Kementerian menerusi bank soalan akan menyediakan soalan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, matematik, sains dan sejarah bagi sekolah rendah dan semua mata pelajaran untuk sekolah menengah," katanya.

"Bagi mata pelajaran lain di sekolah rendah, ia akan disediakan oleh guru," katanya.

Menurut Mohd Radzi, pentaksiran sumatif bukan hanya menilai menilai silibus pada tingkatan tiga saja tetapi turut menilai pembelajaran bagi Tingkatan Satu dan Dua.

"Justeru, dalam pendekatan baharu yang kita perkenalkan ini, kita akan laksanakan penilaian mengikut tahun dan tingkatan," katanya.

Tambah Mohd Radzi, pelaporan PBD dibuat dua kali setahun iaitu pada pertengahan dan akhir sesi akademik.

"Pelaporan akhir sesi akademik menggunakan format baharu akan mula dilaksanakan pada sesi akademik 2022/2023 manakala pelaporan pertengahan dilaksanakan sesi akademik tahun 2023/2024," katanya.

PT3 diperkenalkan pada 2014 bagi menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) selaras dengan pelaksanaan PBS yang bertujuan mengurangkan tumpuan keterlaluan terhadap peperiksaan.

KPM sebelum ini mengumumkan PT3 pada tahun 2020 dan 2021 dibatalkan susulan pandemik Covid-19.

Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) yang diperkenalkan sejak tahun 1988 turut dimansuhkan pada tahun lalu.

Sementara itu, ditanya adakah pelaporan tersebut akan dipertimbangkan untuk pemilihan aliran tingkatan empat, Mohd Radzi berkata, ia turut melibatkan perbincangan antara guru, ibu bapa dan murid.

"Dengan pelaporan yang menyeluruh ini ia memudahkan pemilihan aliran yang sepatutnya," katanya.