Jadikan al-Quran pedoman untuk elak fitnah

Sebahagian peserta program berkenaan.
Sebahagian peserta program berkenaan.
A
A
A

IPOH - Umat Islam perlu benar-benar menjadikan al-Quran sebagai pedoman serta panduan hidup demi mengelakkan fitnah serta kekalutan yang berlaku di seluruh dunia pada hari ini.

Menyedari senario berkenaan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIH), menganjurkan program Training The Trainers (TOT) Teknik Tadabbur Surah Al-Kahfi di Rumah Ngaji @ Kediaman Lama Menteri Besar Perak, hari ini.

Seramai 140 peserta melibatkan asatizah, jurulatih serta penggerak dari Rumah-Rumah Ngaji Perak hadir bagi mengikuti program berkenaan yang dipimpin oleh Ketua Pegawai Penyelidik WUIH, Fazrul Ismail.

Pengurus Perhubungan Strategik dan Perhubungan Awam WUIH, Nurhayati Nordin berkata, program berkenaan secara keseluruhannya bertujuan untuk memberikan latihan kepada golongan tenaga pengajar di Rumah-Rumah Ngaji berkenaan.

Menurutnya, latihan berkenaan diharapkan dapat pula diajarkan pula di Rumah-Rumah Ngaji masing-masing kelak.

Peserta menyemak penerangan yang diberikan.
Peserta menyemak penerangan yang diberikan.

“Alhamdulillah, hari ini, kita dah selesai program yang ringkas tetapi penuh bermakna. Hari ini kita berikan latihan kepada asatizah, jurulatih serta guru-guru Rumah Ngaji.

“Mereka ini seterusnya akan jadi ejen perubahan untuk bawakan mesej al-Kahfi kepada rakyat di negeri Perak khususnya dan Insya-ALLAH ke seluruh negara,” katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Tambah Nurhayati, program berkenaan secara keseluruhannya adalah antara usaha bagi membawa kefahaman serta penghayatan al-Quran dalam kalangan masyarakat.

Katanya, jika sebelum ini kaedah sama digunakan bagi penghayatan surah Yasin, surah an-Namlus dan surah al-Hujerat, kali ini surah al-Kahfi yang menjadi pilihan.

“Program misi al-Kahfi ini adalah program 2019 yang kita adakan, dalam usaha kita membawa kefahaman penghayatan al-Quran kepada masyarakat.

“Kita pilih surah al-Kahfi atas dasar melihat kepada keperluan kefahaman surah tersebut dalam kita menangani kekalutan, kecelaruan, hiruk pikuk yang berlaku dalam dunia kita menyebabkan sebahagian daripada kita kehilangan arah,” katanya.

Nurhayati berkata, pemilihan Surah al –Kahfi kali ini juga adalah berdasarkan kepada hadis Rasulullah SAW sendiri yang menggalakkan kita membaca surah berkenaan.

Bahkan katanya, surah al-Kahfi sebenarnya sudah pun diamalkan oleh sebahagian rakyat di negara ini.

“Cuma apa yang kita kempenkan adalah supaya penghayatan surah al-Kahfi itu benar-benar ditadaburri selain benar-benar dilihat dan direfleksi kepada diri agar jadi satu perubahan yang positif kepada seluruh masyarakat.

Fazrul memberikan penerangan kepada peserta.
Fazrul memberikan penerangan kepada peserta.

“Program ini sebenarnya adalah galakan dan cetusan kepada tenaga pengajar yang hadir kepada penggerak Rumah Ngaji agar ia menjadi suntikan perjuangan," katanya.

Dalam pada itu, Penyelaras Rumah Ngaji Perak, Noor Mazlina @ Lily Noor Shah berkata, program TOT yang dianjurkan hari ini mendapat sambutan yang sangat baik daripada warga bandaraya ini khususnya bagi golongan asatizah serta pengusaha Rumah Ngaji.

Katanya, biarpun pihak Rumah Ngaji Perak hanya memiliki tempoh yang begitu terhad bagi mengadakan persiapan untuk program berkenaan, ia tetap berjaya dilaksanakan dengan baik.

“Walaupun kita hanya merancang dalam masa tiga hingga empat hari sahaja untuk program ini, tetapi ia tetap berlangsung dengan lancar dan jayanya.

“Malah kita berbangga kerana bukan hanya ustaz atau ustazah sahaja yang hadir, tetapi ahli-ahli serta penggerak Rumah Ngaji turut meluangkan masa untuk bersama-sama kita dalam program ini,” katanya.

Sementara itu menurut Mazlina, kesemua peserta program yang melibatkan para asatizah ustazah diharap dapat memperluaskan ilmu yang diperolehi dengan mengajarkannya pula di Rumah-rumah Ngaji masing-masing.

Bagaimanapun katanya, bagi golongan yang bukan bergelar ustaz atau ustazah tetapi ahli bagi Rumah Ngaji ini diharap dapat menyampaikan pula ilmu yang diperolehi kepada anak, cucu serta masyarakat setempat.

“Supaya semua ilmu yang diperolehi daripada program ini dapat disebarkan oleh semua peserta selaras dengan misi kita menjelang World #Quran Hour, Al-Khaft Mission yang kita jadualkan berlangsung pada 30 Mei 2019 bersamaan 25 Ramadan 1440H nanti,” katanya.