Rakyat mahu kerajaan Madani pertahan sensitiviti umat Islam

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

ISU kalimah ALLAH dan penggunaan pembesar suara di luar surau atau masjid untuk azan serta iqamah kembali menjadi bualan hangat rakyat terutama umat Islam.

Merak Jalanan sendiri bingung apabila kerajaan bertindak di luar jangkaan dan tidak mahu meneruskan rayuan kes berkaitan penggunaan kalimah ALLAH dan tiga perkataan Arab dalam penerbitan bahan agama Kristian.

Majoriti umat Islam di negara ini terkejut terhadap keputusan kerajaan yang dipercayai berbuat demikian tanpa berunding dengan pihak majlis agama yang terlibat dalam pengurusan kes tersebut di mahkamah.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) memperjelaskan tindakan kerajaan menarik balik rayuan kes mengenai penggunaan kalimah ALLAH, Baitullah, solat dan kaabah itu disebabkan berlaku percanggahan arahan pentadbiran KDN dan kabinet pada tahun 1986.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula kata, penggunaan kalimah ALLAH oleh penganut agama Kristian di Sarawak dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pendidikan, hanya terpakai untuk negeri berkenaan dan tidak terpakai di negeri-negeri lain.

Bagaimanapun seorang peguam yang mempunyai kaitan dengan kes berkenaan tampil membidas kenyataan Anwar dengan berkongsi surat arahan atau pekeliling KDN yang menyatakan larangan penggunaan kalimah ALLAH dan tiga perkataan lain penerbitan agama Kristian adalah ‘di negara ini’ dan bukannya ‘di Sarawak sahaja’.

Bekas Menteri Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) turut menggesa supaya kerajaan perlu meneliti semula keputusan menarik balik rayuan kes berkenaan kerana ia memberi implikasi undang-undang pada masa hadapan.

Justeru Merak Jalanan senada dengan umat Islam di negara ini yang mahu kerajaan Madani mempertahankan sensitiviti agama Islam.