Jabatan Perikanan Terengganu sita 43 bubu, alatan renjatan elektrik

Sebanyak 43 unit bubu dan beberapa peralatan renjatan elektrik disita oleh Jabatan Perikanan Negeri Terengganu dalam dua operasi berasingan di Besut dan Setiu bermula 9 April lalu.
Sebanyak 43 unit bubu dan beberapa peralatan renjatan elektrik disita oleh Jabatan Perikanan Negeri Terengganu dalam dua operasi berasingan di Besut dan Setiu bermula 9 April lalu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Jabatan Perikanan Negeri Terengganu menyita 43 unit bubu dan beberapa peralatan renjatan elektrik dalam operasi berasingan di dua daerah sejak tiga hari lepas.

Pengarah Perikanan Negeri, Ruzaidi Mamat berkata, dalam operasi di Setiu, anggota penguat kuasa menyita 43 bubu bernilai RM2,150 yang disyaki digunakan untuk menangkap ikan di Sungai Setiu dekat Pengkalan Nyatoh.

"Aktiviti menangkap ikan menggunakan bubu adalah dilarang di bawah Kaedah-Kaedah Perikanan Darat Terengganu 1988 (pindaan 1993) (KKPDT).

"Dalam operasi berasingan di sekitar kawasan Baruh Gong Telikung dekat Kampung Bukit Tanah di Besut, aktiviti renjatan elektrik dikesan, namun individu terlibat berjaya melarikan diri sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, aktiviti menangkap ikan menggunakan racun, bahan letupan (bom ikan) dan renjatan elektrik adalah antara kaedah menangkap ikan yang dilarang di bawah KKPDT kerana boleh memusnahkan sumber perikanan dan mengancam nyawa individu yang melakukannya.

Individu yang didapati bersalah boleh dikenakan kompaun tidak melebihi RM500 atau denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Sebarang aduan mengenai aktiviti penangkapan yang dilarang ini boleh dibuat terus kepada pihak polis atau pejabat perikanan berhampiran atau menghubungi talian aduan Fishcom 03-88885019 (telefon dan khidmat pesanan ringkas) atau 03-88704058 (telefon). - Bernama

Artikel Berkaitan: