MB Kedah diminta jelas isu bekalan elektrik di KRC

Muhammad Sanusi (kiri), Mahdzir Khalid
Muhammad Sanusi (kiri), Mahdzir Khalid
A
A
A

KUALA NERANG - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor diminta menjelaskan penjadualan terkini berhubung pembekalan elektrik yang masih tidak selesai untuk disalurkan ke projek Kedah Rubber City di Padang Sanai, dekat sini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid mendakwa, walaupun ada usaha-usaha yang dijalankan kerajaan negeri sebelum ini, namun sehingga kini ia masih tergendala sekali gus menimbulkan keresahan kepada para pelabur.

"Lebih elok kalau ada jadual negeri, penjadualan bila pengambilan tanah siap, bila garis masa dia, buatlah sedikit garis masa, masalahnya garis masa pun tiada dan sampai hari ini saya nampak belum pasti bila nak masuk elektrik itu. Inilah antara benda (perkara) yang menjadi kerisauan,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Pelancaran Gerak Kerja Jentera Pilihanraya Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu dan DUN Kuala Nerang dekat sini pada Khamis.

Mahdzir berkata, bekalan elektrik di kawasan KRC perlu dihubungkan dari Tanjung Pauh, Jitra sejauh 42 kilometer kerana kawasan industri tersebut memerlukan penggunaan elektrik yang banyak.

KRC dibangunkan di kawasan seluas 503 hektar merupakan projek taman perindustrian getah berstatus nasional pertama di Malaysia yang diusahakan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) bersama kerajaan Kedah. - Bernama