Mesyuarat khas bincang operasi pelupusan babi

Laporan Sinar Harian (Gambar kecil: Bakri)
Laporan Sinar Harian (Gambar kecil: Bakri)
A
A
A

SEREMBAN - Satu mesyuarat khas akan diadakan pada Isnin untuk membincangkan operasi pelupusan 275 ekor babi di sebuah ladang babi tidak berlesen di Kampung Baru Site A di Tanah Merah, Port Dickson susulan kes penyakit Demam Babi Afrika (ASF) yang direkodkan.

Exco Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sembilan, Datuk Bakri Sawir berkata, perkara utama yang akan dibincangkan ialah soal kelengkapan logistik kerana jika tidak diurus dengan baik ia boleh menjangkiti babi lain.

"Mesyuarat itu akan melibatkan semua agensi berkaitan yang akan diketuai oleh Jabatan Veterinar.

"Tindakan segera perlu diambil bagi memastikan ia tidak merebak ke lokasi lain dan tindakan saman turut akan diambil kepada pengusaha kerana beroperasi tanpa lesen," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Menurutnya, buat masa ini tidak dapat dipastikan berapa lagi ekor babi yang telah dijangkiti penyakit itu kerana ladang berkenaan telah pun ditutup.

Ujarnya, rondaan keselamatan di kawasan ladang berkenaan turut diperketatkan bagi tiada aktiviti keluar masuk ternakan dilakukan.

Dalam pada itu beliau menafikan tiada tindakan diambil terhadap 20 pengusaha lain yang dipercayai beroperasi tanpa lesen di kawasan itu.

"Sebelum ini tiga ke empat pengusaha yang telah diberi notis saman. Cuma yang jadi masalahnya apabila tiada ternakan babi di ladang berkenaan apabila pemeriksaan dilakukan.

Artikel Berkaitan:

"Jadi agak sukar tindakan undang-undang diambil. Tapi pemantauan sentiasa dilakukan," katanya.