Syarikat pembekalan babi didenda RM2,500

Sebuah syarikat didenda RM2,500 kerana memiliki 24,700 kilogram karkas babi yang tidak mempunyai perakuan veterinar.
Sebuah syarikat didenda RM2,500 kerana memiliki 24,700 kilogram karkas babi yang tidak mempunyai perakuan veterinar.
A
A
A

PETALING JAYA - Sebuah syarikat pembekalan babi didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu kerana memiliki 24,700 kilogram karkas babi yang tidak mempunyai perakuan veterinar.

Majistret Farah Azura Mohd Saad menjatuhkan hukuman itu terhadap syarikat Cergas Utama Sdn Bhd diwakili Pengarahnya, Chong Kean Chi, 37, selaku Orang Kena Saman (OKS) yang mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut dan turut memerintahkan waran levi dikeluarkan sekiranya syarikat tersebut gagal membayar denda.

Syarikat itu didakwa memiliki 24,700 kilogram karkas babi yang tidak disembelih di rumah penyembelihan yang diluluskan atau dilesenkan yang melanggar peruntukan di bawah Kaedah 5(3) Kaedah-Kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis di Taman Industri Puchong pada 11.30 pagi, 10 Mei lepas mengikut Kaedah 17 Kaedah-Kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Farah Azura menasihatkan Kean Chi supaya memeriksa dengan teliti haiwan yang dijual selain perlu mematuhi undang-undang ditetapkan.

Lelaki itu menjawab: "Maaf saya silap dan tidak tahu”.

Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor, Mohd Sharif Sabran memohon hukuman setimpal supaya memberi pengajaran kepada OKS dan pemain industri lain agar mematuhi undang-undang veterinar.

"Sekiranya tiada perakuan daripada veterinar, tahap kesihatan karkas atau ternakan itu tidak dapat dipastikan malah karkas yang tidak mempunyai perakuan veterinar adalah tidak selamat dimakan oleh manusia.

Artikel Berkaitan:

"Karkas babi yang tidak mempunyai perakuan veterinar akan menyebabkan berlakunya jangkitan demam babi Afrika yang boleh memberikan risiko kepada ternakan lain. Berikutan itu, ia menjejaskan industri (pembekalan) babi kerana haiwan itu akan dilupuskan yang memberi kesan kepada ekonomi negara,” katanya.

Peguam Goh Rhen-Jeat mewakili syarikat itu memohon hukuman denda minimum atas alasan anak guamnya mengalami kerugian yang tinggi.

"Kesalahan ini tidak melibatkan keselamatan dan kesihatan orang awam selain ia merupakan kesalahan kali pertama anak guam saya,” katanya.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian sepasukan penguat kuasa dari jabatan veterinar telah ke premis tersebut dan siasatan mendapati terdapat karkas babi yang dibalut dengan plastik lut sinar berwarna biru tidak mempunyai tanda pengenalan dari rumah penyembelihan yang diluluskan atau dilesenkan. - Bernama