Subjek UMP diiktiraf dunia

Enam subjek ditawarkan UMP tersenarai antara terbaik di dunia berdasarkan penarafan QSWUR by Subject 2022 yang diumumkan baru-baru ini. Gambar kecil: Dr Yuserrie Zainuddin
Enam subjek ditawarkan UMP tersenarai antara terbaik di dunia berdasarkan penarafan QSWUR by Subject 2022 yang diumumkan baru-baru ini. Gambar kecil: Dr Yuserrie Zainuddin
A
A
A

KUANTAN - Enam subjek ditawarkan Universiti Malaysia Pahang (UMP) tersenarai antara terbaik di dunia berdasarkan penarafan QS World University Rankings (QSWUR) by Subject 2022 yang diumumkan baru-baru ini.

Subjek kejuruteraan kimia berada pada kelompok 150-200 terbaik dunia dan antara lima terbaik di negara ini manakala kejuruteraan dan teknologi di tangga ke-357, subjek kejuruteraan mekanikal, aeronautik dan pembuatan (301-350), kejuruteraan elektrik dan elektronik (401-450) dan kimia (451-500) dalam kelompok terbaik dunia dan ke-10 terbaik di Malaysia.

Naib Canselor UMP, Prof Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin berkata, pada penarafan itu turut menyaksikan subjek sains komputer dan sistem maklumat berada di kedudukan 601-650 terbaik dunia dan berada dalam kelompok 15 terbaik negara.

Menurutnya, sebagai sebuah universiti teknikal yang kini melangkah usia 20 tahun, UMP menawarkan pelbagai program teknikal berteraskan kejuruteraan dan teknologi.

"UMP akan memperkukuhkan peranannya dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) bagi mengangkat agenda pemerkasaan Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) di semua peringkat.

"Universiti ini sentiasa menambah nilai program akademik melalui proses penanda aras secara berterusan menggunakan model (Fachhochschule) bertaraf dunia," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Dr Yuserrie berkata, pengantarabangsaan program dual Ijazah berkembang pesat dan membanggakan dengan kebolehpasaran graduan berjaya melepasi 96 peratus mendapat pekerjaan.

"Antaranya, program dual Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Automotif dan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik UMP dengan Karlsruhe University of Applied Science (HKA) Jerman yang kini memasuki tahun ke-12 berjaya meluaskan jaringan kerjasama antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

"Dalam memperkukuhkan lagi hubungan universiti, UMP bakal meneroka kolaborasi antarabangsa dengan beberapa negara lain seperti China dan Kazakhstan serta bakal diperluas ke Amerika Syarikat selain negara-negara Eropah," katanya.

Menurutnya, kaedah penilaian QSWUR by Subjects 2022 adalah berdasarkan empat indikator.

"Pencapaian tahun ini memperlihatkan Reputasi Akademik, dan Reputasi Majikan bagi subjek Kejuruteraan Kimia mendapat skor tertinggi manakala subjek Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik mendapat sitasi (Citation dan Indeks-H ( H-Index) skor tertinggi.

"QS Quacquarelli Symonds merupakan badan penarafan pendidikan tinggi antarabangsa telah menganalisis perbandingan membabitkan 15,200 program dari 1 543 universiti di 88 lokasi di seluruh dunia merentasi 51 disiplin akademik," katanya.