Subjek hadis di sekolah tidak bercanggah Perlembagaan - GPMS

Nik Saiful Adli
Nik Saiful Adli
A
A
A

KOTA BHARU - Memperkenalkan mana-mana bahagian dalam ajaran Islam dan implementasi ajaran Islam dalam sistem pendidikan tidak sesekali bercanggah dengan mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan mahupun undang-undang berkaitan sistem pendidikan termasuk Akta Pendidikan 1996.

Timbalan Pengerusi Tetap Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Nik Saiful Adli Burhan berkata, tindakan Kementerian Pendidikan memperkenalkan Modul Penghayatan 40 Hadis Imam Al-Nawawi adalah untuk mengimplementasikan nilai-nilai murni dalam hadis tersebut.

Menurutnya, hadis tersebut menghimpunkan panduan kehidupan yang bukan menjurus kepada ibadah umat Islam semata-mata tetapi merangkumi keseluruhan moral serta nilai murni kehidupan manusia pelbagai agama atau kefahaman.

“Saya menyokong sepenuhnya usaha kementerian dalam meningkatkan pendidikan moral dan nilai murni kehidupan, bukan semata-mata menjadikan sijil akademik sebagai matlamat utama pendidikan di sekolah.

“Saya menyeru semua pihak termasuk yang mewakili agama-agama lain agar berlapang dada dalam menilai langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan supaya keharmonian dan perpaduan kaum dalam negara ini terjaga selain pada masa sama sistem pendidikan negara ini mampu memberi manfaat menyeluruh kepada kehidupan generasi akan datang,” ujarnya.

Pada Selasa, Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois (MCCBCHST) dilaporkan membantah sebarang tindakan untuk memperkenalkan subjek berkaitan hadis di semua sekolah di seluruh negara.

Majlis itu berkata, langkah memperkenalkan subjek berkenaan di seluruh negara mungkin bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Hadis itu jelas sebahagian daripada agama Islam. Nampaknya tiada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan kita yang membenarkan ajaran Islam sebegitu di sekolah jenis kebangsaan. Ini mungkin dilaksanakan di sekolah agama Islam,” kata MCCBCHST dalam satu kenyataan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut perkara itu, Nik Saiful yang juga seorang peguam berkata, dakwaan MCCBCHST bahawa pengajaran subjek berkaitan hadis di semua sekolah di seluruh negara bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, adalah satu tafsiran undang-undang yang salah.

“Merujuk perkara tiga Perlembagaan Persekutuan menyebut Islam adalah agama Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan harmoni di mana-mana bahagian Persekutuan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi bantu bentuk akhlak pelajar

KPM lancar modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi

Terbit semula hadis 40 Imam Nawawi, pupuk kefahaman agama - PM